Home Nasional Senaraihitam peminjam PTPTN tindakan ekstrem

Senaraihitam peminjam PTPTN tindakan ekstrem

Sebahagian mahasiswi mengaminkan doa ketika berkumpul di hadapan Menara PTPTN selepas selesai berarak pada Himpunan Tuntut Janji PTPTN di sekitar kawasan Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR- Majlis Belia Malaysia (MBM) menyifatkan cadangan untuk menyenaraihitam lesen memandu, cukai jalan dan lesen perniagaan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah langkah yang sangat ekstrem.

Naib Presidennya, Mohd. Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, di samping menafikan hak rakyat, langkah sedemikian juga tidak akan membantu PTPTN mendapatkan semula pinjaman yang telah diberikannya.

“Menafikan lesen perniagaan hanya akan membantutkan usaha untuk mendapatkan kembali pinjaman.

“Ia juga merupakan satu kerugian kepada negara yang akan kehilangan sumber melalui cukai serta mewujudkan kegiatan perniagaan haram,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Izzat Afifi yang juga Pengerusi Biro Pendidikan MBM berkata, PTPTN perlu mencari satu pendekatan komprehensif di dalam menentukan siapakah yang benar-benar dikatakan sebagai peminjam ingkar.

Ini termasuk memastikan pendapatan isi rumah dan perbelanjaan yang perlu dilangsaikan oleh peminjam.

Pendefinisian melalui perolehan gaji sahaja tidak mencukupi dan perlu ditimbang semula oleh pihak PTPTN, tegasnya.

“MBM berpendapat bahawa tindakan menyenarai hitamkan peminjam untuk ke luar negara yang ingkar membayar semula pinjaman PTPTN adalah satu langkah membebankan.

“Namun di satu sudut ia adalah perlu khusus bagi peminjam yang benar-benar gagal menjalankan tanggungjawab melunaskan hutang sepertimana yang sepatutnya, walaupun hakikatnya berkemampuan untuk membayar,” katanya lagi.

Tambah Mohd. Izzat Afifi, MBM juga mahukan PTPTN menghapuskan ujrah untuk meringankan beban peminjam.- MalaysiaGazette