SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Sulaiman Abdul Razak ‘naik angin’ apabila kerajaan negeri cuba memesong jawapan berhubung pertanyaannya mengenai kerugian yang dihadapi Universiti Selangor (Unisel).
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi serta Inovasi negeri, Nik Nazmi Nik Ahmad sebaliknya membangkitkan isu perjanjian asrama Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) yang mendakwa Sulaiman mempunyai kepentingan dalam saham institusi pendidikan tinggi (IPT) itu.
Sulaiman turut berang apabila Nik Nazmi turut mendedahkan sejumlah saham yang dimiliki ADUN Permatang dan isterinya, termasuk bakal menerima durian runtuh berjumlah ratusan juta ringgit.
“Saya bertanya soalan mengenai kerugian yang dihadapi UniSel, tetapi kenapa Seri Setia (Nik Nazmi) membangkitkan isu yang tidak ada kena mengena dengan jawapan yang kami dari Barisan Nasional (BN) mahu tahu?
“Saya cabar Seri Setia buat kenyataan ini di luar Dewan. Saya boleh saman Seri Setia kerana memberi jawapan dalam bentuk tuduhan ke atas saya,” katanya pada sesi penggulungan oleh Nik Nazmi di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.
Tindakan Exco itu turut mendapat teguran Timbalan Yang Dipertua DUN, Mohd Shafie Ngah yang mengingatkannya supaya tidak menyebut nama syarikat yang dikaitkan dengan KUIS dan menumpukan kepada jawapan yang dibangkitkan iaitu mengenai kerugian Unisel.
Nik Nazmi bagaimanapun, meneruskan jawapannya dengan tidak menyebut nama syarikat, sebaliknya menyatakan sebuah syarikat.
Jawapannya itu menyebabkan Sulaiman bangun tidak puas hati dan mencabar ADUN Seri Setia itu mengulangi kenyataannya di luar Dewan.
Nik Nazmi memberi alasan, apa yang dijawabnya mengenai syarikat yang berkaitan dengan KUIS itu adalah isu lama yang telah mendapat liputan akhbar arus perdana serta media sosial.
Sulaiman ketika ditemui selepas sidang DUN berkata, Exco berkenaan tidak menyahut cabarannya, sebaliknya hanya membuat kenyataan di luar bilik Dewan, tetapi masih di dalam bangunan DUN.
“Sepatutnya, dia mengulangi kenyataan itu di luar bangunan ini. Misalnya, di luar pagar bangunan ini atau di mana saja, bukan di dalam bangunan yang menempatkan bilik DUN,” katanya. – MalaysiaGazette