KUALA LUMPUR – Umat Islam disarankan menyantuni semua masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama terutamanya golongan warga emas yang mendiami rumah-rumah kebajikan di negara ini.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, menjadi tanggungjawab umat Islam untuk mengasihi golongan orang tua ini yang memerlukan bantuan dan rawatan kesihatan.
“Saya melihat orang-orang tua tanpa melihat kepada bangsa, bahasa dan agama.
“Apabila sakit, uzur dan tua sebenarnya kita hendaklah menyantuni mereka, mengasihi mereka, memberi bantuan kepada mereka merawat mereka.
“Usaha yang dilakukan oleh rumah-rumah kebajikan bagi saya merupakan usaha yang amat murni dan cukup baik,” katanya pada sidang media selepas program ziarah ke Pertubuhan Kebajikan Rumah Kasih Jing Yuan anjuran Bank Muamalat di Pandan Indah Commercial Park, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Bhd., Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid.
Zulkifli juga berkata, usaha yang dilakukan Bank Muamalat itu perlu dicontohi oleh semua pihak bukan sahaja syarikat korporat bahkan ia perlu disokong oleh NGO dan kerajaan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Majlis ziarah ini di luar jangkaan saya di mana saya dapat menziarahi rumah orang-orang tua yang uzur rumah kebajikan ini.
“Saya melihat usaha ini perlu diberi sokongan oleh semua pihak sama ada kerajaan, korporat dan langkah sejuzuk yang dibuat Bank Mualamat ini bagi saya ia merupakan satu perintis walaupun sudah ada bantuan dibuat berskala besar.
“Dokongan Bank Muamalat memberi sokongan padu itu juga orang ramai, pertubuhan, syarikat dan NGO dan kerajaan hendaklah kita teruskan dan semarakkan lagi,” katanya.
Katanya lagi, akhlak murni itu dalam membantu tanpa mengira agama dan bangsa itu juga perlu diterapkan dalam masyarakat majmuk agar saling kasih dan menyayangi antara satu sama lain.
“Saya berdoa kepada Allah agar pesakit-pesakit disembuhkan, kerja usaha ini akan berterusan dan ia merupakan hal yang baik.
“Kita perlu eksport perangai, sikap dan tanggungjawab seperti ini kepada seluruh masyarakat Malaysia.
“Budaya rahmah kasih sayang, budaya menyantuni menghormati mengasihi ini merupakan sejuzuk daripada tuntutan semua agama apatah lagi Islam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette