Home Nasional Kunjungan, sumbangan keperluan asas kejutkan Marsyila

Kunjungan, sumbangan keperluan asas kejutkan Marsyila

Pengarah Urusan Hanna Intelek Sdn Bhd, Anna Saad menyerahkan minyak masak sebagai bantuan makanan kepada seorang ibu, Marsyila Zakaria yang kesempitan hidup bersama 6 orang anak sambil diperhatikan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan (kanan) di PPR Desa Tun Razak Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Tidak sampai 48 jam kisah keperitan hidup Marsyila Zakaria bersama tujuh anaknya yang masih kecil disiarkan MalaysiaGazette, bantuan mula mencurah-curah disalurkan kepadanya

Bulan Ramadan penuh barakah ini membuka pintu rezeki bagi ibu yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu kerana bimbang dengan keselamatan anak-anaknya.

“Saya pun terkejut, kali kedua kena prank selepas wartawan dan jurukamera MalaysiaGazette dua hari lalu, tanpa dijangka hari itu mereka (wartawan) kelihatan berbadan sasa seperti polis merisaukan saya tapi sedar sebenarnya wartawan selepas memperkenalkan diri mereka.

“Hari ini pula, saya tak tahu (NGO-NGO) orang nak datang hulurkan bantuan apatah lagi Datuk Nadzim Johan serta Suraya Ali dan pengurus NGO, usahawan.

“Tanpa MalaysiaGazette, sudah pasti orang tak tahu lumrah hidup saya sepanjang Ramadan ini yang tiada bezanya dengan hari biasa lain… kami tidak boleh memikirkan sambutan berbaju raya untuk anak-anak dengan masakan juadah raya disebabkan keadaan semasa,” katanya di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak Bandar Tasik Selatan pagi tadi.

Anak perempuan Marsyila yang mengidap Autisme tidak boleh bertutur dan sering terhantuk di dinding ketika berlari ke dapur kerana lapar.

MGF16052019_TEMBUAL IBU 6 ORANG ANAK KESEMPITAN HIDUP09
Marsyila Zakaria bersama 6 orang anaknya bergambar selepas ditemubual mengenai kesempitan hidup mereka menjelang sambutan Aidilfitri di PPR Desa Tun Razak Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 MEI 2019

Anak lelakinya berusia 13 tahun pula tidak ke sekolah akibat dibuli pelajar menambahkan kerisauan ibu yang menyerahkan takdir kepada ketentuan Allah.

Melihatkan kesusahan hidup yang diharingi wanita berusia 35 tahun ini, Ketua Aktivis serta Ketua Aktivis Wanita Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengambil inisiatif menghulurkan sumbangan berupa barang keperluan rumah kepada Marsyila.

Malah Pengerusi Persatuan Usahawan Wanita dan Kemanusiaan Srizan Safar dan Pengarah Urusan Syarikat Hanna, Anna Saad juga tidak mahu ketinggalan apabila menyerahkan barang keperluan rumah kepada suri rumah itu.

Lebih manis, pemilik dan Pengarah Urusan SR Global Development Sdn. Bhd yang mengusahakan ayam kampung dan ayam segar Dr Ku, Dr Syed Luqman Hakim Syed Alwi menyumbang ayam beku dibungkus vakum untuk persiapan Hari Raya Aidilfitri..

Marsyila memberitahu, beliau yang tidak suka meminta-minta bersyukur kepada Allah yang memberinya rezeki berupa bantuan yang diterimanya hari ini.

“Sangat tak sangka tiga malam tadi datang mesej dan panggilan bertalu-talu dari Johor, Kuantan, Pahang dan kawasan lain menghubungi saya meminta akaun hendak hulurkan bantuan, nak kirim barang keperluan asas, makanan dan sebagainya.

“Satu masa itu sahur semalam saya tak jangkakan ada keluarga dari Pahang dan bersahur bersama kami dengan nasi berlaukan garam hanya mahu nak merasai apa yang kami lalui, “katanya berlinangan air mata.

MGF16052019_TEMBUAL IBU 6 ORANG ANAK KESEMPITAN HIDUP13
Marsyila Zakaria tidak dapat menahan kesedihan semasa bercakap mengenai kesempitan hidup mereka menjelang sambutan Aidilfitri di PPR Desa Tun Razak Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 MEI 2019

Katanya, dia terharu dan rasa seronok dihulurkan barang makanan dan keperluan lain untuk menyambut hari lebaran, seperti insan lain.

“Saya memang tak nak fikir pasal raya, ke puasa sama sahaja seperti hari biasa, tetapi dengan datangnya sumbangan bantuan PPIM dan NGO lain bersemangat saya dan anak-anak bertukar kasut raya dan pakaian.

“Memang berseronok Syawal kali ini akan menjadi penuh bermakna untuk anak-anak saya seperti kanak-kanak lain,” ujarnya yang mengharapkan pendapatan tetap tanpa menyusahkan orang lain.

“Bagaimanapun saya tak nak bergantung kepada orang ramai, nak berdikari raih pendapatan sendiri.

“Sekarang ini pergi mengemas di luar, cuci pakaian orang di rumah dengan upah RM5 tidak cukup, pengalaman dikejar anjing dan orang mabuk juga risaukan saya jika keluar cari nafkah,” katanya sambil menambah ketuhar yang diterima akan membolehkannya membuat kuih raya. – MalaysiaGazette