Home Pendapat Turunkan umur lantikan senator

Turunkan umur lantikan senator

OKU
Gambar hiasan

PENGUMUMAN Tun Dr Mahathir Mohamad bagi melantik seorang senator mewakili belia merupakan suatu pengiktirafan bagi aktivis belia seluruh negara. Sudah pasti pengumuman ini
merupakan suatu berita gembira buat golongan belia yang mewakili 42% penduduk Malaysia bagi memastikan penglibatan suara belia dalam setiap keputusan mahupun dasar negara.

Lebih signifikan, pengumuman ini dilakukan ketika sambutan Hari Belia Malaysia peringkat kebangsaan yang diadakan bersempena Majlis Perhimpunan Agong Tahunan ke-68 Majlis Belia Malaysia. Secara tidak langsung, ini adalah suatu bentuk pengiktirafan kerajaan baharu di bawah pimpinan Tun Mahathir Mohamed yang
memberi pesanan jelas bahawa belia dan anak muda telah diberikan keyakinan untuk bersama-sama memeta pembangunan negara.

Bagi menjayakan agenda ‘Youth Power’, kerajaan wajar meneliti cadangan agar hak umur kelayakan Senator harus diturunkan. Perkara 47(a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seorang warganagera boleh dilantik sebagai seorang ahli Ahli Dewan Negara jika dia berumur tidak kurang daripada 30 tahun.

Untuk rekod, peruntukan ini tidak pernah diubah semenjak penyediaan Perlembagaan Merdeka oleh Suruhanjaya Reid pada 1956. Umur 30 tahun bagi melayakkan seseorang itu layak dipilih sebagai Senator di Dewan Negara Malaysia adalah tinggi jika berdasarkan keperluan semasa dan sekiranya dibandingkan dalam umur kelayakan di negara maju yang lain.

Justeru, persoalan untuk menurunkan usia bagi membolehkan lantikan senator dalam kalangan mahasiswa direalisasikan memerlukan kehendak politik yang kukuh daripada para Yang Berhormat. Suatu rang undang-undang pindaan perlembagaan
perlu dikemukakan bagi meminda Perkara 47(a) dalam penetapan umur Ahli Dewan Negara serta memerlukan sokongan dua pertiga daripada kedua-dua dewan Parlimen sebagaimana termaktub dalam Perkara 159(3) Perlembagaan Persekutuan.

Perdebatan yang seterusnya, berapa umur paling sesuai untuk seseorang individu dilantik sebagai senator? Ini memerlukan suatu penelitian berdasarkan realti keMalaysiaan serta amalan negara lain. Di Australia, Perlembagaan menetapkan
kelayakan menjadi untuk menjadi Ahli Senat adalah sama dengan kelayakan menjadi Ahli Dewan Perwakilan iaitu 21 tahun.

Kelayakan ini adalah sama seperti diamalkan di House of Lords United Kingdom iaitu 21 tahun. Mencedok amalan negara lain, umur 21 atau 23 dilihat sesuai untuk dilaksanakan. Di Malaysia, kelayakan untuk melayakkan seseorang individu bertanding
dalam Plihan Raya adalah 21 tahun sebagaimana ditetapkan Perkara 47(b) Perlembagaan.

Dengan penetapan standard umur yang sama pastinya membuka
peluang bagi golongan mahasiswa anak muda mendapat tempat dalam Dewan Negara tanpa perlu bersaing dengan para warlord dalam parti politik. Tambah pula, cadangan ini selaras dengan komitmen Jemaah Menteri bagi menurunkan had kelayakan
mengundi kepada 18 tahun yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi dan cadangan takrifan baharu umur belia di bawah 30 tahun.

 

SENATOR MAHASISWA

Sekiranya kerajaan bersetuju menurunkan umur Senator Dewan Negara diturunkan, ini pastinya juga akan membuka ruang untuk suara mahasiswa diwakili mampu membawa suatu naratif yang lebih tepat tentang permasalahan yang sebenarnya dihadapi
kelompok ini.

Agak janggal jika suara dan kehendak mereka diwakili oleh individu yang bukannya datang dari kelompok mereka sendiri.
Untuk rekod, idea ini sudah lama dilaungkan. PKPIM sebagai organisasi gerakan pelajar ulung tanah air konsisten mempertegas tuntutan seorang wakil senator mahasiswa melalui pengisytiharan 13 tuntutan mahasiswa PRU ke-12.

Pendirian ini terus diulangi dengan nada yang sama pada PRU 13 & pasca PRU 14 yang lalu. Kerajaan hari ni wajar bersifat lebih terbuka, sedia meraikan suara anak muda bagi memastikan mereka bukan sahaja dapat menyuarakan pendapat mewakili
golongan mereka, bahkan juga dapat bersama-sama  menyumbang kepada penyuburan suasana demokrasi yang lebih sihat seterusnya dapat memangkin kemajuan negara di
masa akan datang.

Ini sekaligus mengiyakan apresiasi yang dilontarkan Kofi Annan,
Mantan Setiausaha Agong PBB kepada generasi muda “You are never too young to lead”.

Farhan officialPenulis adalah Ahmad Farhan Bin Rosli merupakan Penolong Setiausaha Agung 1 PKPIM dan mahasiswa Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Boleh dihubungi melalui email [email protected].