PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengesahkan tiada perang harga petrol dan diesel seperti yang tular di media sosial, dan menganggapnya sebagai satu penipuan.
Pengarah Penguat Kuasa, Datuk Mohd Roslan Mahayuddin berkata, sejak pengumuman harga baharu petrol dan diesel bagi pelaksanaan harga secara mingguan pada Rabu, pegawai-pegawai penguat kuasa KPDNKK bertindak memeriksa stesen-stesen minyak di seluruh negara.
“Semua stesen minyak mematuhi harga baharu petrol dan diesel yang diumumkan pada Rabu. Tiada stesen minyak yang menjual melebihi harga ditetapkan atau melanggar mana-mana peraturan yang berkuat kuasa termasuk perang harga sebagaimana yang tular di media sosial.
“Siasatan yang dijalankan mendapati perkara itu yang tular melalui aplikasi telefon pintar adalah penipuan semata-mata,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Mohd Roslan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak memanjangkan tular yang meragukan itu.
“Ia bukan sahaja menyusahkan orang ramai yang mungkin berkejar ke stesen minyak berkaitan untuk membeli minyak dengan harga lebih murah, tetapi juga menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan rakyat terhadap pengurusan harga baru ini,” katanya.
Mohd Roslan berkata, pihak KPDNKK akan membuat laporan polis dan laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk tindakan undang-undang sekiranya tular itu berpanjangan.
KPDNKK akan memastikan semua peniaga mematuhi arahan yang dikeluarkan kementerian dan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha yang melanggar peraturan semasa yang dikuatkuasakan, katanya.
Harga runcit petrol RON97 ditetapkan pada RM2.41 seliter yang turun 19 sen, petrol RON95 pada harga RM2.13 seliter yang turun 17 sen seliter manakala harga runcit diesel ditetapkan pada RM2.11 seliter yang turun 9 sen.
Harga baru itu berkuat kuasa bermula jam 12.01 tengah malam Rabu dan berakhir 5 April.
Orang ramai boleh menyalurkan aduan kepada KPDNKK sekiranya ada peniaga yang melanggar undang-undang dan peraturan berhubung pelaksanaan harga baru bagi petrol dan diesel.
Aduan boleh disalurkan melalui talian 03-8000 8000 1Malaysia One Call Centre (1MOCC), talian bebas tol Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik (PIGOS) 1-800-886-800.
Aduan juga boleh disalurkan ke aplikasi telefon pintar Ez ADU, emel ke [email protected], SMS ke 15888 dengan menaip “KPDNKK ADUAN atau lapor ke mana-mana pejabat KPDNKK di seluruh negara.