RIYADH – Tiada gangguan bekalan minyak berlaku memandangkan inventori minyak dunia masih meningkat, khususnya dari Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, Amerika Syarikay akan responsif terhadap keperluan pasaran minyak.
Menteri Tenaga Arab Saudi, Khalid al-Falih berkata, setakat ini OPEC belum memutuskan mengenai pengeluaran minyak sehingga pertemuan kartel-kartel itu pada akhir Jun nanti.
“Saya tidak pasti berlaku kekurangan bekalan tetapi kami akan melihat analisis (pasaran). Pastinya kami akan respons dan pasaran akan dibekalkan,” kata Falih ketika ditanya sama ada OPEC akan meningkatkan bekalan susulan kebimbangan kekurangan bekalan.
Tetapi katanya semua petunjuk mendapati inventori minyak masih meningkat berdasarkan data minggu Amerika Syarikat dan kenaikan adalah besar.
OPEC dan pengeluar-pengeluar lain telah bersetuju untuk mengurangkan bekalan sebanyak 1.2 juta tong sehari dari 1 Januari selama enam bulan.
Ia bertujuan mengekang kenaikan bekalan hingga menjejaskan harga minyak.
“Kami fleksibel. Kami akan melakukan perkara yang betul seperti yang dilakukan selalunya,” katanya.
Tambahnya, OPEC sentiasa mematuhi dua prinsipnya iaitu mengekalkan pasaran ke arah kesimbangan dan inventori kembali ke paras normal.
Kedua, responsif terhadap keperluan pasaran.
Arab Saudi tidak melihat keperluan untuk meningkatkan pengeluaran sekarang dengan harga minyak di paras AS$ 70 setong, memandangkan ia bimbang kemerosotan harga dan pembentukan inventori, kata sumber OPEC.
Tetapi Rusia mahu meningkatkan bekalan selepas bulan Jun.
Sebaliknya, Amerika Syarikat, yang bukan ahli OPEC + tetapi sekutu Arab Saudi, mahu kumpulan itu meningkatkan pengeluaran untuk merendahkan harga minyak. – MalaysiaGazette