KUALA LUMPUR – Jumlah aliran bersih asing dari Isnin hingga Khamis minggu ini berjumlah RM1 bilion berbanding RM320.4 juta bagi tempoh sama minggu lepas.
Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, penyertaan asing sepanjang tempoh yang dinyatakan itu, pada purata 30.8 peratus berbanding 29.2 peratus sebelumnya, manakala belian bersih institusi tempatan berjumlah RM934.2 juta daripada RM211.6 juta.
“Kadar penyertaan institusi tempatan pada purata 47.8 peratus antara 6-9 Mei, manakala belian bersih runcit tempatan sebanyak RM70.7 juta berbanding RM108.8 juta sebelumnya. Kadar penyertaan pada purata 22.1 peratus daripada 23 peratus,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, faktor yang mendorong aliran keluar pada kadar amat besar pada minggu lepas disebabkan oleh ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang semakin memuncak.
Sebagai tindak balas terhadap tindakan AS, kerajaan China telah mengenakan tarif ke atas barangan bernilai US$60 bilion yang diimport dari negara itu, berkuat kuasa 1 Jun.
“Pada masa yang sama, tindakan menyenarai hitam syarikat gergasi telekomunikasi Huawei dan sekutunya oleh Jabatan Perdagangan AS dilihat akan menyebabkan pertikaian perdagangan antara dua negara itu tidak akan diselesaikan dalam tempoh terdekat,” kata Afzanizam.
Beliau berkata, akan diadakan pendengaran awam berhubung cadangan AS untuk menaikkan tarif ke atas import China bernilai US$300 bilion pada 17 Jun.
Sidang Kemuncak G20 akan berlangsung di Jepun pada 28-29 Mei dengan Presiden AS Donald Trump dijadual mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping.
“Oleh itu, perkembangan perang perdagangan akan terus menjadi tumpuan. Pada masa yang sama, pelabur akan melihat kepada petunjuk sama ada Rizab Persekutuan AS (Fed) akan menurunkan dasar kewangan pada satu ketika di masa depan.
“Minggu depan, akan diadakan siri bagi anggota Fed berucap kepada awam, termasuk Pengerusi Jerome Powell. Juga akan terdapat ulasan daripada Bank Rizab Australia (RBA) pada Selasa. Sekali lagi, pasaran akan melihat kepada tanda-tanda akan kemungkinan dasar kewangan diturunkan oleh RBA,” kata Afzanizam.
Di dalam negara, Afzanizam berkata Indeks Harga Pengguna bagi April akan diumumkan pada 24 Mei.
“Kadar inflasi dijangka kekal kecil bagi seluruh 2019 berikutan pada 16 Mei Bank Negara Malaysia mengunjurkan kadar inflasi 2019 pada 0.7-1.7 peratus.
“Jadi, kami jangka pasaran kekal kurang memberangsangkan minggu depan. Pengumuman keputusan korporat bagi suku pertama 2019 (1QFY2019) akan menjadi tumpuan minggu depan. Oleh itu, pelabur akan meneliti potensi aliran menurun dan menaik yang mengecewakan daripada keputusan itu,” katanya.
Sementara itu, ketua pegawai urus niaga M&A Securities Sdn Bhd R. Sundararajah berkata, pasaran tempatan berada dalam keadaan turun naik sepanjang minggu ini berikutan ketidakpastian rundingan perdagangan AS-China.
“Ia bertambah buruk pada Khamis apabila AS mengenakan sekatan dan tindakan keras ke atas Huawei,” katanya.
Beliau berkata pasaran dijangka kekal berhati-hati minggu depan kecuali terdapat keputusan positif dalam rundingan perdagangan AS-China. – MalaysiaGazette