KUALA LUMPUR – Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRLSB) dan China Communications Construction ECRL Sdn Bhd (CCCC) tidak pernah melantik ejen-ejen rasmi atau pelobi untuk memudahkan pra-kelayakan kontraktor-kontraktor tempatan bagi 40 peratus pakej kerja-kerja sivil bagi projek pembinaan Landasan Rel Pantai Timur (ECRL).
Kedua-dua syarikat itu mengesahakan tiada kontrak untuk kerja-kerja sivil ECRL akan diberikan secara terus.
Dalam kenyataan bersama, MRLSB dan CCCC berkata, sebarang dakwaan oleh mana-mana syarikat yang menyatakan mereka telah dijanjikan sebagai kontraktor-kontraktor utama ECRL melalui anugerah terus adalah tidak benar.
Sehubungan itu, kontraktor-kontraktor tempatan yang menerima tawaran seumpama itu daripada pihak yang mendakwa sebagai ejen atau pelobi segera membuat laporan kepada MRLSB atau CCCC.
“Pendekatan undang-undang akan dipertimbangkan jika perlu demi melindungi hak kami,” kata MRLSB dan CCCC.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan dakwaan pihak-pihak tertentu yang menyatakan kontraktor Kelas G3 hingga G6 mempunyai peluang terlibat dalam kerja-kerja sivil dengan mendaftar kepada subkontraktor-subkontraktor yang dilantik.
MRLSB dan CCCC sedang menjalankan latihan pra-kelayakan bertujuan membolehkan semua kontraktor dengan lesen Gred G7 hingga G7 Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan dan minimum 2 bintang untuk mendaftar dan disenarai pendek sebagai peminjam yang berpotensi untuk kerja-kerja sivil ECRL.
“Oleh itu, semua syarikat pembinaan dan kontraktor tempatan tulen dan berkelayakan yang mahu disenarai pendek sebagai syarikat yang berpotensi tender bagi pakej kerja-kerja itu digalakkan menyertai latihan pra-kelayakan.
Mereka juga boleh mengemukakan permohonan secara langsung di kaunter CCCC di Pusat Konvensyen Sime Darby pada 29 dan 30 Mei,” katanya dalam kenyataan itu. – MalaysiaGazette