Home Nasional Kebakaran ketiga, harap semua peniaga ambil iktibar

Kebakaran ketiga, harap semua peniaga ambil iktibar

Antara gerai yang hangus dijilat api dalam kejadian kebakaran di deretan gerai di hadapan Wisma Yakin, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada awal pagi tadi. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Kebakaran yang membabitkan 30 gerai di hadapan Wisma Yakin, Jalan Masjid India awal pagi tadi dipercayai akibat litar pintas daripada salah satu daripada gerai tersebut.

Kejadian kali ketiga di kawasan sama itu diharap dijadikan iktibar kepada para peniaga yang menjalankan perniagaan di lokasi tersebut.

Seorang peniaga, Syed Yusof Abdul, 59, yang berada di lokasi itu semasa kebakaran berlaku memuji kecekapan pihak bomba dan penyelamat kerana bertindak pantas mengawal kebakaran.

Jika tidak, katanya, jumlah gerai yang musnah mungkin lebih besar.

MGF21052019_BAZAR MASJID INDIA TERBAKAR01
Syed Yusof Abdul. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2019

Beliau tidak menolak kemungkinan kebakaran itu berlaku disebabkan lebihan penggunaan elektrik di kedai-kedai terbabit atau kecuaian peniaga yang tidak mematikan suis-suis elektrik sebelum balik.

Ini kerana, katanya, penggunaan elektrik yang berlebihan kadangkala berlaku gangguan elektrik di gerai-gerai tersebut.

“Saya tidak boleh hendak mengesahkan kebakaran yang berlaku, biarlah bomba siasat. Tetapi berharap ia menjadi iktibar kepada para peniaga sebab sudah tiga kali berlaku.

“Peniaga tidak boleh penting diri sendiri dengan menggunakan bekalan elektrik melebihi kapasiti, matikan elektrik sebelum balik, kena ada tanggungjawab itu,” katanya yang bersyukur kerana kedainya tidak terlibat dalam kebakaran tersebut.

MGF21052019_BAZAR MASJID INDIA TERBAKAR11
Keadaan lokasi deretan gerai yang terbakar di hadapan Wisma Yakin, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2019

Kebakaran yang memusnahkan 30 deretan kedai di hadapan Wisma Yakin itu dipercayai berlaku pada pukul 1.30 pagi telah memusnahkan semuanya.

Syed Yusof sedih dengan kejadian itu apabila mengenangkan kerugian yang terpaksa ditanggung oleh rakan-rakannya yang lain.

MGF21052019_BAZAR MASJID INDIA TERBAKAR09
Seorang wanita meninjau kebakaran yang membabitkan sebanyak 30 deretan kedai berlaku pada jam 1.30 pagi tadi di hadapan Wisma Yakin, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2019

“Memang musnah semua sebab gerai ini didirikan kanopi dan kanvas, memang cepat terbakar.

“Saya sedih dengan kejadian ini kerana Hari Raya semakin dekat bagaimana hendak dapat modal semula dalam keadaan ekonomi yang tidak begitu baik, kos sara hidup yang tinggi. Ini bukan mudah, satu keperitan,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana insiden itu tidak melibatkan nyawa.

“Mujur tidak ada sesiapa yang terlibat, hanya rugi barang-barang sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette

30 kedai di hadapan Wisma Yakin dijilat api