Home Ekonomi PNB118 siap 61 tingkat, nasib menara lama belum ditentukan

PNB118 siap 61 tingkat, nasib menara lama belum ditentukan

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Pemodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad menyarungkan beg kepada salah seorang anak yatim sambil diiringi Timbalan Pengerusi Pelaburan Strategik PNB, Datin Paduka Kartini Abdul Manaf dan Ketua Pegawai Kewangan PNB, Datuk Mohd Nizam Zainordin (kanan) pada Majlis Berbuka Puasa PNB bersama anak-anak yatim 2019 di Menara PNB, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 17 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Bhd. (PNB) masih mengkaji perancangan yang bakal diambil kepada Menara PNB di Jalan Tun Razak selepas menara ikonik PNB118 siap pada 2021 nanti.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Rahman Ahmad, firma pengurusan dana itu tidak berhasrat untuk melupuskan bangunan yang telah menjadi ibu pejabatnya sejak lebih 40 tahun lalu.

“Kami masih mempertimbangkan perancangan mengenai bangunan ini selepas berpindah ke PNB118 kelak.

“Ia bangunan lama, kami perlu melakukan penambahbaikan dan sebagainya terlebih dahulu” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Ketika ditanya kemungkinan untuk melaksanakan Unit Amanah Hartanah (REIT), Abdul Rahman berkata, itu salah satu kaedah yang mungkin dipertimbangkan.

“Untuk REIT, kami perlu mendapatkan penyewa dan memiliki pendapatan melalui bangunan ini namun apa paling penting, kami perlu melihat terlebih dahulu dan melakukan perancangan untuk bangunan ini berikutan ia bangunan lama,” katanya.

PNB 118 yang bakal menjadi menara tertinggi di Malaysia mengalahkan The Exchange 106 di Tun Razak Exchange dan Menara Berkembar Petronas di KLCC itu, menurut Abdul Rahman, sedang berada di landasan tepat untuk disiapkan mengikut tempoh masa yang dirancang iaitu pada awal 2021.

Setakat pembinaan menara itu sudah mencapai ketinggian 61 tingkat.

Kos pembinaan juga dijangka tidak berubah meskipun berlaku ketidaktentuan nilai tukaran mata wang asing serta peningkatan harga bahan mentah.

Mengikut perancangan, PNB 118 yang bakal menjadi mercu tanda baharu Kuala Lumpur itu membabitkan pembinaan menara 118 tingkat dan pusat membeli-belah.

Menara itu bakal mempunyai ketinggian 630 meter dan merupakan bangunan kedua tertinggi di Asia serta tersenarai sebagai ‘Mega Tall Building’ kelima tertingi di dunia.

Ia terdiri daripada 60 tingkat lantai pejabat yang akan diduduki oleh PNB dan baki 22 tingkat lagi akan dibuka untuk sewaan syarikat tempatan dan antarabangsa.

Sebanyak 18 tingkat lagi merupakan hotel mewah bertaraf enam bintang yang akan menawarkan 236 bilik.

Selain itu, baki 18 tingkat lagi akan menempatkan lobi dan dek pemerhatian. – MalaysiaGazette