Home Politik Buktikan ekonomi Sabah lemah semasa bawah BN

Buktikan ekonomi Sabah lemah semasa bawah BN

Datuk Zulkarnain Mahdar
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar. foto FAREEZ FADZIL, 13 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mencabar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong membuktikan ekonomi Sabah semasa pentadbiran lepas dalam keadaan tenat.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, Jaujan perlu mengesahkan kerajaan Sabah bergelut memulihkan ekonomi hasil tinggalan kerajaan terdahulu sedangkan ia bertentangan dengan laporan Jabatan Audit Negara 2017.

“Saya ingin mencabar Jaujan untuk menunjukkan bukti berupa dokumentasi ataupun dapatan fakta dari sumber mana yang menunjukkan ekonomi Sabah semasa pentadbiran lama dalam keadaan tenat.

“Bukti ini amat perlu bagi membuktikan bahawa Jaujan tidak berbohong dan cuba pula membohongi rakyat Sabah.

“Perbuatan mengeluarkan tuduhan melulu adalah jelas satu perbuatan yang salah dan berunsur fitnah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Jaujan dilaporkan mendakwa program pemulihan ekonomi Sabah tidak terjejas walaupun kerajaan negeri berdepan pelbagai kesukaran selepas mengambilalih pentadbiran negeri selepas PRU-14.

Jaujan juga dilaporkan berkata, program pemulihan ekonomi Sabah dijangka dapat mengembalikan keyakinan rakyat walaupun baru setahun Parti Warisan Sabah mengambil alih kerajaan dan memulihkan ekonomi negeri.

Zulkarnain juga berkata, Jabatan Audit Negara dalam Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2 bertarikh 03 Disember 2018 telah mengesahkan bahawa kedudukan kewangan kerajaan negeri Sabah pada 2017 adalah baik.

Katanya, menurut laporan berkenaan, Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri mencatatkan peningkatan sejumlah RM390.64 juta atau 16.2 peratus kepada RM2.80 bilion pada 2017 berbanding RM2.41 bilion pada 2016.

“Turut dilaporkan oleh Jabatan Audit Negera dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 2 juga kedudukan kewangan kerajaan Sabah pada 31 Disember 2016 adalah baik.

“Berdasarkan laporan itu, Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri mencatatkan peningkatan sejumlah RM276.74 juta atau 13 peratus daripada RM2.14 bilion pada 2015 kepada RM2.41 bilion pada 2015.

“Akaun Hasil Disatukan pula mencatatkan lebihan sejumlah RM66.58 juta, menjadikan baki terkumpul meningkat kepada RM3.74 bilion pada 2016,” katanya.

Beliau turut mencabar Jaujan menunjukkan bukti senarai projek serta nilai harga sepanjang Datuk Seri Shafie Apdal menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) selama sembilan tahun untuk manfaat rakyat Negeri Sabah.

“Saya juga meminta disenaraikan sekali senarai kontraktor yang melakukan kerja-kerja tersebut. Perkara ini amat penting agar rakyat dapat menilai keberkesanan Datuk Seri Shafie Apdal sepanjang menjawat Menteri tersebut.

“Jaujan perlu buktikan daripada sumber dapatan mana, siapa melakukan bancian, daerah mana, golongan serta umur serta berapa ribu respondan telah ditemui sehingga beliau begitu berani menyatakan bahawa rakyat semakin yakin dengan pentadbiran Parti Warisan di Sabah,” katanya.

Katanya lagi, Jaujan tidak wajar menggunakan kemenangan DAP di Sandakan yang telah diketahui umum sebagai kubu kuat DAP sebagai kayu pengukur keupayaan Warisan mentadbir Sabah.

“Jaujan perlu lebih banyak mengaji bab politik. Harus diingat Sabah mempunyai 25 Parlimen dan membuat perbandingan hanya melalui satu Parlimen adalah fakta yang langsung tidak boleh diterima pakai.

“Lambat laun kebenaran pasti akan terdedah dan kelak rakyat akan memahami siapa sebenarnya pejuang rakyat atau sebaliknya.

“Saya juga berharap dengan kemasukan Parti BERSATU di Sabah sedikit sebanyak akan mampu mengurangkan kaedah banyak bercakap dan lebih banyak bekerja demi untuk rakyat Sabah oleh Warisan di Sabah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette