Kerajaan DAP Pulau Pinang dibidas kerana sanggup menghancurkan masa depan nelayan dan alam sekitar demi sikap rakus pemimpinnya hendak merealisasikan Pelan Induk Pengangkutan negeri itu.
Menurut Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim, sikap angkuh itu tidak diendahkan kerajaan negeri meskipun Perunding Penilaian Kesan Alam Sekitar menyatakan ancaman besar akan terjadi terhadap alam sekitar dan kehidupan nelayan jika diteruskan.
“Mungkin mudah untuk kerajaan DAP Pulau Pinang beri pampasan, tetapi dengan mengorbankan alam sekitar, bukan melambangkan kewibawaan kerajaan negeri dalam menjaga kelestarian alam. Ini warisan negara yang perlu dipertahankan.
“Sumber laut di kawasan Permatang Damar Laut inilah menjadi lubuk rezeki golongan nelayan dan mereka bertarung nyawa demi memberi sumber protein kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.
Dr. Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, jika projek berkenaan diteruskan, ia akan menjejaskan kehidupan nelayan terutama di Kampung Sungai Batu kerana terpaksa bergantung hidup dengan sumber marin di situ.
Ini jelas beliau, kerajaan Pulau Pinang pimpinan Ketua Menterinya, Lim Guan Eng langsung tidak memikirkan nasib nelayan, malah pemberian pampasan bukan satu-satunya jalan bagi menutup kerosakan dan tidakpuasan hati golongan itu.
“Yang penting ialah kemampanan dan kelestarian pembangunan dalam menjaga nilai estetika semula jadi dan nilai seperti ini mampu menjana pendapatan tanpa memudaratkan persekitaran, di samping memajukan ekonomi setempat khususnya nelayan.
“Tidak ada makna jika pengangkutan dibangunkan, tetapi pada masa sama menghancurkan khazanah alam yang nilainya tiada tandingan serta bertukar ganti,” katanya.
Ujar beliau, tindakan kerajaan negeri itu hanya bersifat ingin membuktikan kejayaan menyiapkan pelan rancangan tanpa mengira nasib semua pihak dan perkara.
Katanya, kegagalan dalam mengimbangi kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat memberikan gambaran kerajaan Pulau Pinang bersikap tidak bersikap adil dan lari dari maksud pembangunan sebenar.
Beliau memberi amaran agar kerajaan negeri itu tidak menyalahkan nelayan sekiranya ikan tidak mencukupi di pasaran dan menyebabkan harga tidak menentu.
“Sepatutnya ekosistem ekonomi nelayan yang menjadi warisan negara seharusnya dilindungi dan dipertahankan kerajaan Pulau Pinang, bukan menggunakan alasan pembangunan untuk dijadikan alasan bagi menafikan hak yang mereka miliki sejak merdeka lagi,” katanya. – MalaysiaGazette