PEKAN- Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’azzam Shah ibarat bapa kepada anak-anak seni.
Kata penyanyi popular era 80-an, Datuk Nassier Wahab, Baginda memberikan layanan yang sangat baik kepada anak seni sepertinya apabila sering bertanyakan khabar selain memberikan sokongan moral.
“Kita berdukacita kehilangan raja berjiwa rakyat. Kami anak seni, baginda selalu ambil berat tanya khabar, kita rasa macam tuanku ini bapa kita,” katanya kepada pemberita ketika hadir memberi penghormatan terakhir kepada jenazah yang mangkat pagi Rabu.
Nassier mendedahkan Almarhum suka kepada lagu-lagu yang dinyanyikannya terutama ‘Oh sayang’ dendangan penyanyi asal, Bob Tutopoli.
Lagu itu menurut Nassier, akan menjadi permintaan Almarhum untuk dinyanyikan berulang kali tanpa jemu.
“Tuanku suka lagu Cemburu, Di wajahmu ku lihat bulan, Kisah seorang biduan dan Juwitaku sayang. Oh sayang lagu itu dia akan suruh ulang banyak kali. Itulah kenangan,” katanya mengumbau majlis yang sering dihadiri Almarhum sebelum ini.
Nassier tidak akan melupakan semua kenangan menyanyi di hadapan Baginda, termasuk berpeluang berbuka puasa bersama pada tahun lalu, meskipun pada waktu itu kondisi kesihatan Almarhum tidak optimum.
“Tahun lepas kita sempat jumpa tuanku berbuka sama walaupun masa itu sudah berkerusi roda kita mengadap tuanku dia pegang kepala usap kepala kita.
“Kita tidak dapat layanan begitu dengan orang lain,” ujarnya.
Dalam pada itu, penyanyi itu berharap agar hubungan anak seni dan pihak istana selepas ini akan terus terjalin baik seperti mana silaturahim yang dijalinkan Almarhum Sultan Ahmad sebelum ini. – MalaysiaGazette