Home Nasional Saifuddin amat berpuas hati dengan harga barangan keperluan utama

Saifuddin amat berpuas hati dengan harga barangan keperluan utama

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sambil diiringi Pengurus Pasaraya Giant Hypermarket Batu Caves, Jeffrey Suresh Mariappan (kiri) menunjukkan harga kentang semasa mengadakan lawatan pada Majlis Perasmian Wajah Baharu Pasar Raya Giant di Giant Batu Caves, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 23 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melahirkan rasa gembira dan lega dengan sikap yang ditonjolkan oleh peniaga dalam mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang dilaksana sejak kelmarin.

Malah, Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengakui telah mula melakukan tinjauan sejak tiga lalu ke beberapa lokasi pasar raya besar dan mengakui mereka rata-ratanya telah mematuhi skim harga maksimum menjelang Aidilfitri.

Kata Saifuddin, beliau amat berpuas hati dengan tindakan para peniaga yang menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan kerajaan.

“Mereka juga telah meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu pada barangan harga terkawal bagi membezakan dengan barangan lain.

“Saya sememangnya sangat berpuas hati, dalam tiga hari ini saya telah lakukan tinjauan sama ada dalam satu kumpulan besar seperti ini mahupun secara sendirian, memang berpuas hati.

“Setakat tinjauan sehingga hari ini, saya sangat berpuas hati tentang dua perkara iaitu kepatuhan harga yang tidak meletakkan harga melebihi harga siling dan kedua, pengurangan harga dengan margin yang tinggi.

“Apa yang lihat juga ialah ada juga tempat yang saya tidak mahu sebut di mana telah melakukan pengurangan sehingga RM5. Memang sungguh baik sekali.

“Malah saya juga saban hari berhubung dengan rakan sejawat saya, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub yang mengawal bekalan serta saling berbincang tentang perkara ini.

“Saya sebenarnya sangat komited dan prihatin tentang isu ini terutamanya harga-harga membabitkan makanan basah, itu juga antara lokasi utama yang akan saya pergi setiap kali datang ke pasar raya,” katanya selepas menghadiri majlis pelancaran semula wajah baharu Pasar Raya Besar Giant Batu Caves di sini hari ini.

Terdapat perubahan jenis barangan dalam SHMMP berbanding tahun lalu membabitkan ikan kembung segar beku, ikan selar segar beku, ikan selayang segar beku, kacang panjang, kacang tanah dan cili kering dimasukkan pada pelaksanaan skim tahun ini.

SHMMP dilaksanakan selama 30 hari iaitu 15 hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan 14 hari selepas perayaan berbanding 15 hari pelaksanaannya sebelum ini bermula 19 Mei sehingga 19 Jun hadapan.

MGF23052019_MAJLIS PERASMIAN WAJAH BAHARU GIANT15
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meluangkan masa beramah mesra dengan sebahagian pengunjung semasa mengadakan lawatan pada Majlis Perasmian Wajah Baharu Pasar Raya Giant di Giant Batu Caves, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 23 MEI 2019

Dalam pada itu, Saifuddin juga mendedahkan pihaknya juga berdepan dengan krisis rungutan daripada segelintir peniaga kerana penurunan harga ayam proses pada waktu perayaan ‘menyusahkan’ mereka.

Jelas Saifuddin, ini kerana ada juga peniaga yang menjual ayam proses mereka sehingga RM3.99 sekilogram menyebabkan peniaga lain tidak dapat menjual dengan lebih tinggi sehingga kerugian.

“Ada juga peniaga mengadu adakah kami boleh (kenakan) tindakan terhadap mereka yang jual harga ayam mereka dengan harga rendah sehingga RM3.99 sekilogram?

“Bagaimana itu? Saya kata kami tidak boleh lakukan sedemikian. Kita hanya boleh tentukan harga siling sahaja bukan harga lantai, sebenarnya dari segi persaingan ianya baik untuk pengguna,” jelasnya. – MalaysiaGazette