KUALA LUMPUR – BIMB Holdings Bhd. merekodkan peningkatan untung bersih sebanyak 17.7 peratus kepada RM202.51 juta pada suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2019 berbanding RM172.31 juta yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu didorong oleh pengukuhan prestasi perniagaan bank dan takafulnya.
BIMB dalam kenyataannya berkata, keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) naik 16.8 peratus kepada RM319 juta manakala keuntungan operasi meningkat sebanyak 14.9 peratus kepada RM376 juta berbanding RM327.3 juta tahun lalu.
Kumpulan Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) merekodkan pertumbuhan PBZT sebanyak 6.1 peratus kepada RM219.9 juta berbanding RM207.2 juta tahun lalu disokong oleh pendapatan bersih keseluruhan lebih tinggi.
Dana kasar berasaskan pendapatan naik 12.5 peratus didokong oleh peningkatan 8.5 peratus dalam pembiayaan kasar berbanding tahun lalu manakala pendapatan daripada pendeposit dan pemegang akaun pelaburan pula melonjak 19.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Bagi perniagaan takafulnya pula, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd. (Takaful Malaysia) mencatatkan peningkatan PBZT sebanyak 33.5 peratus kepada RM13.3 juta berbanding RM84.9 juta tahun lalu disumbang oleh fi pendapatan bersih Wakalah yang semakin berkembang dalam perniagaan takaful keluarga.
Perolehan operasi Takaful Malaysia meningkat 23.1 peratus disokong terutamanya oleh penjualan lebih tinggi sumbangan perniagaan takaful keluarga. – MalaysiaGazette