Home Nasional Gesaan A. Kadir Jasin pandangan pengamal media

Gesaan A. Kadir Jasin pandangan pengamal media

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap kepada media pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni di Dewan Perdana Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 23 MEI 2019

PUTRAJAYA – Gesaan Datuk A. Kadir Jasin supaya individu yang dilantik menganggotai Kabinet mengundurkan diri secara sukarela jika merasakan diri kurang menonjol dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH) merupakan pandangan seorang pengamal media.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, meskipun wartawan veteran itu merupakan anggota dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), tetapi keputusan untuk mengundurkan diri daripada Kabinet terserah kepada orang yang dimaksudkan.

Menurutnya, di dalam kerajaan langkah menggantikan anggota Kabinet adalah dibawah bidang kuasa perdana menteri dan keputusan untuk mengganti seseorang menteri adalah d ibawah bidang kuasanya.

“Saya tidak tahu siapakah yang dimaksudkannya tetapi kalau saya, saya berhentilah.

“Kalau orang lain, terserah pada mereka, ini adalah prerogatif Perdana Menteri. Nak ambil apa-apa langkah dan tindakan terserah kepada Perdana Menteri.

“Tetapi saya fikir itu adalah pandangan peribadi Kadir Jasin. Jadi, mana-mana mereka yang disebutkan tadi, terserah pada individu berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Penerapan Nilai-Nilai Murni KDN di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC) di sini hari ini.

Terdahulu, A. Kadir dalam catatan diblognya berkata, masa setahun yang PH berikan kepada menteri termasuk menteri besar, ketua menteri atau exco kerajaan negeri adalah cukup lama.

Katanya, langkah itu perlu kerana rakyat mahu melihat perubahan dan menaruh harapan agar ada pembaikan selepas mereka membuat pilihan untuk menukar kerajaan.

Beliau turut berkata, rakyat khususnya yang mengundi PH berhak untuk membuat penilaian siapa yang pada pengetahuan dan pandangan mereka, berjaya atau gagal memenuhi aspirasi mereka. – MalaysiaGazette