KUALA LUMPUR – Pas Perjalanan Tanpa Had My100 dan My50 oleh RapidKL mendapat sambutan menggalakkan apabila merekodkan peningkatan pengguna pengangkutan awam lebih 14 peratus sejak diperkenalkan Januari lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain berkata, peningkatan paling ketara adalah bagi penggunaan Monoreal MRT sebanyak 31 peratus setakat ini.
“Ini adalah satu peningkatan positif malah peningkatan 14 peratus pengguna pengangkutan menunjukan inisiatif ini sangat berkesan dan berguna kepada masyarakat.
“Setakat ini, sudah lebih 120,000 pengguna mendaftar untuk pas My100 dan My50 ini. Kami jangka ada peningkatan pada masa-masa akan datang,” katanya selepas majlis pelacaran video sempena Hari Raya Aidilfitri oleh Prasarana yang berkonsepkan ‘Austime’ hari ini.
MY100 terdiri daripada 30 hari perjalanan tanpa had untuk LRT, Monorel, MRT dan Bas Rapid Transit (BRT), manakala MY50 terpakai untuk semua Rapid KL dan bas pengantara untuk MRT, kecuali BRT.
Pakej My50 yang berharga RM50 juga mempunyai tempoh hayat selama 30 hari memberikan penggunaan tanpa had untuk semua perkhidmatan bas Rapid KL yang beroperasi untuk lebih 180 laluan di Lembah Klang dan Selangor serta perkhidmatan bas perantara MRT.
Tambah Mohamed Hazlan, setakat ini, Prasarana mengendalikan lebih 1.2 juta penumpang sehari termasuk di Pulau Pinang, Kamunting dan Manjung di Perak serta di Kuantan.
Dalam pada itu, Mohamed Hazlan ketika bercakap tentang video khas yang dikeluarkan oleh Prasarana itu berkata, pihaknya cukup prihatin dengan golongan autisme juga antara pengguna perkhidmatan RapidKL sehingga terhasilnya video berdurasi lima minit ini.
Jelasnya, penerbitan video berkenaan adalah susulan kepada video ‘Chopstick’, yang dikeluarkan akhir Januari bersempena sambutan Tahun Baru Cina lepas.
“Selepas produksi video berjudul ‘Chopstick’ bersempena perayaan Tahun Baru Cina awal tahun ini, Prasarana meneruskan trend ini melalui penghasilan video untuk Sambutan Hari Raya Aidil Fitri.
“Ini adalah salah satu strategi untuk memperkenalkan lagi perkhidmatan-perkhidmatan pengangkutan awam yang didokong oleh Kumpulan Prasarana dan anak-anak syarikatnya.
“Sekaligus menjadi tarikan untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menggunakan sistem pengangkutan awam selaras dengan aspirasi Kerajaan. Inisiatif ini secara tidak langsung dapat mempromosikan jenama Kumpulan Prasarana dan visi syarikat iaitu ‘Connectivity and Mobility for All’
“Kami berharap dengan paparan kisah Yusof yang dibesarkan oleh kakaknya kerana ketiadaan kedua ibu bapa mereka akan membuka mata dan minda masyarakat khususnya apabila berinteraksi dengan anak-anak ‘autisme’ dan golongan istimewa ketika menggunakan pengangkutan awam,” ujarnya.
Video berjudul ‘Songkok’ itu berkisar tentang seorang pesakit autisme bernama Yusof yang kehilangan kedua-dua ibubapa beliau akibat satu kemalangan jalan raya dan terpaksa dijaga oleh kakaknya.
Dilakonkan oleh artis terkenal, Risteena Munim, si kakak menghadapi pelbagai dugaan dalam menangani tabiat Yusof, lakonan Izzy Zulkhazreef Zulkefli, yang amat obses dengan koleksi songkoknya akan mula ke udara melalui laman sosial bermula 24 Mei ini. –MalaysiaGazette