Home Sukan Misi penting skuad Malaysian Tigress

Misi penting skuad Malaysian Tigress

Muhammad Dharma Raj Abdullah.

KUALA LUMPUR – Skuad hoki wanita negara bakal turun dengan misi penting pada Kejohanan FIH Siri Akhir Wanita bermula 8-16 Jun ini di Banbridge, Ireland untuk mencari kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Selain cubaan melakar sejarah untuk layak ke Sukan Olimpik buat kali pertama dalam 40 tahun, di mana skuad Malaysian Tigress tidak pernah layak sejak acara hoki wanita dipertandingkan di temasya terbesar dunia pada edisi 1980 di Moscow, kejohanan ini juga bakal menentukan masa depan skuad itu.

Keputusan di Banbridge itu dilihat mampu mengubah takdir beberapa pemain senior yang mungkin menggantung kayu hoki selepas gagal dalam beberapa percubaan sebelum ini, manakala kontrak Muhammad Dharma Raj Abdullah yang berakhir pada tahun ini mungkin tidak disambung.

Skuad Malaysian Tigress yang menyedari bahawa mereka perlu meraih dua tempat teratas pada kejohanan yang disertai oleh lapan pasukan untuk layak ke pusingan kelayakan terakhir ke Tokyo 2020 pada Oktober dan November ini, telah membuat persiapan rapi, termasuk latihan seawal pukul 3.00 pagi sepanjang bulan Ramadan ini, selain bakal mengorbankan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Kita kurang tekanan kerana pasukan kita menduduki ranking kelima daripada lapan pasukan yang bertanding. Tanpa tekanan ke atas pemain, mungkin kita boleh mendapat sesuatu dari kejohanan ini sebab ia sangat mustahak,” kata Muhammad Dharma.

“Kalau gagal di sini, mungkin kebanyakan pemain dari skuad ini tercicir kerana program Majlis Sukan Negara hanya ada untuk hoki dalam dewan (bagi Sukan SEA 2019), manakala bagi acara padang kita tiada apa-apa untuk diharapkan…Jadi kita memang perlu dapatkan sesuatu di sana nanti.

“Saya tahu kontrak saya tamat tahun ini, kalau gagal saya tahu situasi di mana mungkin kontrak tidak diperbaharui atau saya dihantar ke tempat lain, semua ini situasi yang boleh berlaku, kita terima sahaja kerana saya dah biasa lalui perkara sebegini sejak memulakan karier pada 2012,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum berlepas ke Rome, Itali untuk Siri Jelajah Eropah sebagai persediaan ke kejohanan tersebut yang akan bermula pada Hari Raya keempat.

Skuad negara akan mengikuti persiapan dan perlawanan persahabatan di Rome, sebelum berlepas ke Glasgow pada 1 Jun untuk mengharungi dua perlawanan persahabatan menentang Scotland dan dijangka tiba di Ireland pada 6 Jun untuk aksi pemanas badan menentang skuad Bawah-23 negara itu.Pada kempen di Ireland, Malaysia, yang menduduki ranking ke-22 dunia, diundi dalam Kumpulan A bersama-sama dengan negara tuan rumah, Irealand (8), Republik Czech (19) dan Singapura (35) manakala Kumpulan B terdiri daripada Korea Selatan (11), Scotland (18), Ukraine (26) dan Perancis (30).

Sementara itu, pakar flick negara, Nuraini Abdul Rashid berkata beliau dan rakan sepasukannya akan cuba sedaya upaya untuk mencipta kejutan pada kejohanan itu, seperti yang dilakukan oleh Itali yang menghuni ranking ke-32 dunia pada saingan lelaki di Kuala Lumpur untuk mara ke pusingan separuh akhir baru-baru ini.

“Saya rasa bukan saya sendiri, tetapi satu pasukan pasti akan buat yang terbaik…Yang paling penting akan cuba layak ke final untuk dapat kedudukan dua teratas, supaya layak ke pusingan seterusnya.

“Bukan saya sahaja, ada dalam enam pemain senior yang beraksi pada pusingan kelayakan Olimpik buat kali ketiga, saya rasa mungkin tahun ini ada sesuatu yang lebih baik. Insyaallah…kita akan usahakan, bukan mudah tetapi tak mustahil,” kata pemain berusia 30 tahun itu.- BERNAMA