KUALA LUMPUR – Malang tidak berbau bagi seorang produser filem tempatan berusia 46 tahun apabila niat menukar tayar kenderaan yang pancit di tepi jalan berakhir dengan tragedi maut.
Allahyarham Datuk Mokhairul Shamsul Mokhtar itu dikatakan dalam proses menerbitkan filem Mama dan Jodoh Syaitan itu maut akibat parah dalam kemalangan di Jalan Kuching berhampiran bulatan Segambut selepas dirempuh kenderaan lain.
Kejadian dilaporkan berlaku sekitar 4.20 pagi tadi ketika pemilik syarikat produksi Da Motion Media itu menuju ke Selayang dari pusat bandar.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, hasil siasatan polis mangsa Mokhairul telah menghentikan kenderaan Land Cruiser di lorong kiri setelah mendapati tayarnya jip itu kempis dipercayai pancit.
“Mangsa turun dari kenderaan untuk menukar tayar belakang sebelah kanan kenderaannya.
“Ketika itu mangsa hanya memasang lampu kecemasan dan tidak meletakkan sebarang kon atau papan tanda amaran di belakang kenderaannya yang diberhentikan di bahu kiri jalan utama itu.
“Tiba-tiba sebuah kenderaan van Ford Spectron berwarna perak yang dipandu seorang penjual buah-buahan berusia 47 tahun melalui lorong yang sama terkejut melihat kelibat mangsa pada jaraknya yang begitu dekat.
“Peniaga yang berasal dari Taman Seri Kembangan itu telah mengelak ke arah kanan kenderaan mangsa menyebabkan Mokhairul yang berada di belakang sisi kanan terperanjat dan berundur ke belakang kenderaan menyebabkan dia dilanggar van tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkefly berkata, akibat perlanggaran kuat itu, mangsa tercampak ke hadapan kira kira 76 kaki dari kenderaannya.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal di tempat kejadian. Kenderaan mangsa didapati bahagian kanan cermin sisi pecah dan badan kereya di bahagian belakang calar,” tegasnya.
Menurutnya penjual buah buahan, Siow Ket Chin tidak mengalami sebarang keceraan.
“Kenderaan Ket Chin bahagian hadapan cermin besar, lampu besar bahagian kiri pecah manajala kangaroo bar hadapan bengkok dan badan kereta kemek.
“Lokasi kejadian merupakan Jalan Ekspres laluan mendaki dengan tiga lorong jalan sehala dan keadaan cuaca baik dan jalan kering.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.- MalaysiaGazette