Home Seni Hidup Op Selamat 15: Jangan tambah statistik kemalangan

Op Selamat 15: Jangan tambah statistik kemalangan

Lans Koperal Hazirah Kasmin dan Koperal Sabariah Ishak (kanan) melihat Buku Tip Keselamatan Jalan Raya pada Majlis Pelancaran Op Selamat 15/2019 sempena Hari Raya Aidilfitri di Menara TM, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 24 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Para pengguna jalan raya diberi amaran supaya mematuhi undang-undang sepanjang Kempen Op Selamat ke-15 ini.

Operasi sempena musim balik kampung sempena Hari Raya Aidilfitri itun bermula 29 Mei ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang kesalahan lalu lintas dan mereka dipantau sepanjang masa.

“Penguat kuasa kami akan ada di semua kawasan, jadi jangan biarkan diri anda ditangkap dan cuba jadi pengguna jalan yang berhemah dan beretika.

‘Kalau kamu cuba jadi pemandu hebat dan lebih pintar sehingga cuba mencabar polis melanggar peraturan lalu lintas, maka bersedialah menerima saman ke rumah anda dua minggu daripada tarikh kesalahan anda dicekup di atas jalan,” katanya.

Semalam, Abdul Hamid melepaskan pasukan Op Selamat 15 sempena Aidilfitri 2019 di Menara Telekom Malaysia di Lembah Pantai di sini.

Op Selamat kali ini akan bermula dari 25 Mei hingga 12 Jun ini iaitu seminggu sebelum dan seminggu selepas 1 Syawal akan dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama semua anggota penguatkuasa di negara ini.

Tambah beliau, amaran itu menyusul selepas menyedari terdapat pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab menggunakan lorong kecemasan.

Katanya, sekiranya pesalah tidak berhemah seperti itu ditangkap saman akan dikeluarkan tanpa sebarang pertimbangan diskaun.

Menurutnya, polis menjangka tidak akan ada penambahan dalam kawasan panas kesalahan dan kemalangan tahun ini di seluruh negara sempena Op Selamat 15 tahun musim ini.

Katanya, polis menjangka tiga hingga empat juta kenderaan di atas jalan dalam satu satu masa sepanjang musim itu khususnya semasa balik kampung dan balik kerja.

“Nasihat saya ialah amalkan pemanduan berhemah dan penuh sabar untuk sampai ke destinasi yang dituju.

“Saya tahu pastinya semua nak sampai ke destinasi dengan cepat, tetapi ada ribuan pengguna jalan pada satu satu masa dan pastinya kami tidka dapat elakkan kesesakan, maka sabar dan berhemah dalam memandu,” tegasnya. – MalaysiaGazette