Home Nasional Selangor teliti penghakiman bertulis bayaran pampasan

Selangor teliti penghakiman bertulis bayaran pampasan

Azmin Ali
SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan meneliti penghakiman Mahkamah Tinggi di sini yang memutuskan pembayaran pampasan RM2.7 juta kepada tujuh bekas kakitangan Menteri Besar Diperbadankan (MBI) Selangor tiga tahun lepas adalah sah.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata penelitian penghakiman bertulis dilakukan peguam mewakili kerajaan negeri bagi melihat keperluan untuk membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan MBI, sebuah anak syarikat kerajaan negeri Selangor, yang difailkan pada 11 Mei 2015, menuntut tujuh bekas kakitangannya memulangkan kembali pampasan RM2.7 juta yang dibayar menerusi Skim Pemisahan Sukarela (VSS) pada 2014.

Mahkamah memutuskan bahawa bayaran pampasan itu adalah sah dan dibuat mengikut peraturan berdasarkan Enakmen MBI 1994.

Ketujuh-tujuh kakitangan tersebut adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Faekah Hussin, Rohani Talib, Arfa’eza Abdul Aziz, Mustapha Mohd Talib, Rahimah Kamarudin, Abdul Halim Mohamed Yusof serta Tuan Nazuri Tuan Ismail.

Saman terhadap seorang lagi bekas kakitangan MBI yang turut menerima pampasan belum difailkan bagi mendapatkan kebenaran mahkamah di bawah Akta Kebankrapan 1967.

Mereka menerima pampasan apabila kontrak mereka ditamatkan selepas Abdul Khalid meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor pada September 2014.

Pada 16 Jan 2015, Mohamed Azmin mengarahkan kesemua lapan bekas pegawai itu memulangkan semula wang pampasan yang diterima semasa pentadbiran Abdul Khalid kerana mendakwa terdapat pelanggaran tatacara dan peraturan kewangan.

Bekas pegawai berkenaan dilaporkan menerima pampasan RM114,870 hingga RM699,000 seorang.

— BERNAMA