Home Seni Hidup Selagi mampu, Abdul Malik buat amal jariah

Selagi mampu, Abdul Malik buat amal jariah

Pengarah Urusan Malik Streams Corporation Sdn Bhd, Datuk Abdul Malik Dasthigeer (tengah) diiringi Pengarah Eksekutif Syarikat Iman Health and Beauty Sdn Bhd, Datin Dahlia Baiduri bergambar bersama penerima bantuan pada Program Bantuan Amal Kepada Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik di Jakel Mall, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 25 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Setiap kali Syawal menjelma, amal jariah serta keprihatinan terhadap golongan tidak bernasib baik menjadi keutamaan kepada  Datuk Abdul Malik Dasthigeer.

Pemilik syarikat produksi perfileman Hindi dan Tamil terbesar di Malaysia, Malik Streams Corporation berkata, selagi mampu dirinya akan tetap terus menunaikan kewajipan dalam menjaga kepentingan golongan ini sehingga bila-bila.

MGF250519_BANTUAN AMAL KEPADA KANAK-KANAK11
Pengarah Urusan Malik Streams Corporation Sdn Bhd, Datuk Abdul Malik Dasthigeer bercakap pada Program Bantuan Amal Kepada Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik di Jakel Mall, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 25 MEI 2019

Hari ini, Malik bersama-sama syarikat subsidiri beliau, Iman Health and Beauty Sdn Bhd yang diterajui oleh Datin Dahlia Baiduri telah meraikan seramai 300 kanak-kanak kurang bernasib baik dari lima buah rumah kebajikan.

Masing-masing telah diberi peluang membeli-belah sempena raya di Jakel Mall di Jalan Masjid India dan membeli keperluan seperti baju raya pagi tadi.

MGF250519_BANTUAN AMAL KEPADA KANAK-KANAK04
Pengarah Urusan Malik Streams Corporation Sdn Bhd, Datuk Abdul Malik Dasthigeer (dua kanan) diiringi Pengarah Eksekutif Syarikat Iman Health and Beauty Sdn Bhd, Datin Dahlia Baiduri (kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima, Nurul Fatihah Assaruddin pada Program Bantuan Amal Kepada Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik di Jakel Mall, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 25 MEI 2019

Jelas terpancar rasa puas dan gembira dalam wajah kanak-kanak serta pelajar yang teruja kerana diberi peluang untuk memilih pakaian mereka sendiri untuk berhari raya kelak dengan baju baharu masing-masing.

Malik berkata, program kebajikan tersebut diadakan bagi menyuntik keriangan dalam kalangan golongan tidak bernasib baik untuk turut sama meraikan Hari Raya Aidilfitri yang juga dilaksanakan olehnya saban tahun.

“Tahun ini kita telah memperuntukan dana sebanyak RM300,000 bagi memastikan golongan tidak bernasib baik ini menerima bantuan serta perhatian sewajarnya bagi memastikan Aidilfitri ini dapat diraikan sama seperti yang lain.

“Selain kanak-kanak ini, kami juga fokus dalam memberikan bantuan kebajikan kepada golongan warga emas tidak dilupakan kumpulan orang Asli, sepanjang Ramadhan ini Malik Streams aktif dalam memastikan program-program berbentuk kebajikan ini terus dijalankan.

“Pada penghujung tahun ini pula, saya berhasrat untuk menghantar seramai 100 orang yang tidak berkemampuan untuk mengerjakan umrah, tahun lepas kita telah hantar 50 orang tetapi pada tahun ini saya mahu menambah bilangan tersebut dengan jumlah perbelanjaan mencecah sehingga RM500,000.

“Pada saya, apa yang saya kecapi ini juga harus dikongsikan kepada golongan-golongan seperti ini, ini bukan sahaja memberikan mereka sinar harapan sebaliknya juga kepuasan serta keinsafan kepada saya untuk terus meneruskan kerja-kerja amal selagi yang saya mampu.

“Selagi saya ada, selagi itu saya akan teruskan. Mereka-mereka ini wajar dibantu, pada saya jika semua tampil membantu, pastinya lebih ramai akan mendapat manfaat,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.

MGF250519_BANTUAN AMAL KEPADA KANAK-KANAK07
Pengarah Urusan Malik Streams Corporation Sdn Bhd, Datuk Abdul Malik Dasthigeer beramah mesra dengan penerima bantuan pada Program Bantuan Amal Kepada Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik di Jakel Mall, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 25 MEI 2019

Abdul Malik sangat terkenal di negara ini malah seluruh dunia khasnya India kerana pembikinan filem hero Kollywood, Rajinikanth pada 2016 yang masih lagi menjadi fenomena sehingga kini.

Rajinikanth bukan sahaja berjaya ‘dipujuk’ oleh Abdul Malik untuk tinggal hampir 60 hari di negara ini malah juga begitu dekat dengan masyarakat di negara ini, pembikinan filemnya juga hampir 90 peratus di sini.

Semua ini menjadi realiti kerana hubungan akrab antara Abdul Malik dan Rajinikanth yang terkenal dengan superstar itu.

Selain daripada itu, beliau juga aktif dengan syarikat hartanah serta memiliki perniagaan penggurup wang sejak 2007 dan mempunyai lima premis di Lembah Kelang juga di Johor Bharu melalui nama Malik Maju Sdn Bhd.

Abdul Malik juga dijangka akan menyampaikan lebih banyak sumbangan berbetuk wang dan kegunaan lain kepada pesakit-pesakit di Hospital Besar Kuala Lumpur minggu hadapan sebelum menjelangnya Syawal ini. –MalaysiaGazette