IPOH – Tiada sebarang unsur jenayah ditemukan di lokasi seorang warga Bangladesh maut, manakala dua cedera akibat terhidu gas beracun di Taman Risha, Jalan Ipoh-Lumut di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Mohd Ali Tamby berkata, tempat kejadian di hadapan sebuah stesen minyak merupakan lubang bawah tanah dipercayai untuk tujuan pemasangan dan penyelengaraan paip gas oleh Syarikat Sedia Engineering Sdn Bhd.
“Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Pihak bomba yang berada di lokasi telah mengeluarkan semua mangsa dan pegawai perubatan yang tiba mengesahkan seorang warga Bangladesh maut akibat terhidu gas beracun, manakala dua yang sesak nafas dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 malam itu, mangsa yang maut berumur 27 tahun, manakala dua yang cedera masing-masing seorang rakyat tempatan berumur 27 tahun dari Klang, Selangor dan seorang lagi warga Bangladesh berusia 27 tahun.
Menurut Mohd Ali, bedah siasat ke atas pekerja yang maut dijalankan pukul 9 pagi tadi di HRPB, sementara kedua-dua mangsa yang cedera dilaporkan dalam keadaan stabil dan masih dirawat di hospital. – Bernama