Home Nasional Ramai tertipu beli ayam kampung – Persatuan

Ramai tertipu beli ayam kampung – Persatuan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Persatuan Pembiak Ayam Kampung Warisan Malaysia (WAK) meminta agensi-agensi bertindak tegas berhubung penipuan penjualan ayam kampung dan produk ayam ayam kampung.

Pengerusinya, Dr Azhar Kassim berkata, pihaknya memandang berat amalan tidak jujur peniaga menjual ayam daging serta produknya yang menggunakan pelbagai taktik memperdayakan pengguna untuk melariskan jualan ayam daging sambil mengaut keuntungan melampau.

Amalan itu berlaku secara terbuka di pasar borong, pasar raya, pasar malam, pasar tani dan juga kedai makan.

Menurutnya, ada penternak ayam daging menjual ayam daging warna (colour broiler) di peringkat ladang dengan mendakwa sebagai ayam kampung.

Ada juga penternak memanggil ayam ini sebagai ayam kampung kacukan untuk kelirukan pembeli.

Terdapat juga jualan ayam daging ini dalam bentuk perapan ayam kampung berempah yang pastinya dijual dengan harga yang lebih tinggi.

Padahal, katanya, ayam daging ini tidak mempunyai darah ayam kampung.

“Taktik sedemikian telah menjadi semakin meluas sebab agensi berwajib tidak ambil tindakan yang berkesan dari rungutan dan aduan yang berterusan daripada penternak ayam kampung dan juga pengguna yang sudah berlarutan bertahun-tahun lamanya,” menurut beliau dalam satu kenyataan di sini.

Lantaran itu, WAK mendesak agar agensi-agensi yang berkaitan bertindak secara tegas.

Menurut Azhar, ketika umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, pastinya pengguna yang tidak prihatin akan mudah terpedaya dengan perkataan ayam kampung atau ‘kampung’ pada label jualan ayam daging. – MalaysiaGazette