Home Nasional Akta SKM dipinda pastikan koperasi lebih holistik

Akta SKM dipinda pastikan koperasi lebih holistik

Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof. foto AFFAN FAUZI, 27 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan memberi jaminan untuk melakukan penambahbaikan khususnya dalam sektor koperasi termasuk membuat pindaan kepada Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) 1993.

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, pihaknya akan melihat cadangan itu secepat mungkin sebelum membuat sebarang keputusan.

“Ada inisiatif untuk kami pinda dan saya belum lihat secara terperinci lagi saya fikir saya akan cuba untuk lihat perkara ini secepat mungkin dan beri padangan sama ada patut pinda atau tidak.

“Apa pun kita nak tambah baik dari segi akta itu untuk memastikan golongan koperasi atau gerakan koperasi ini dapat dibangunkan dengan lebih holistik,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Grand Bazar Ramadan 2019 anjuran Media Prima di medan letak kereta Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof mendengar penerangan daripada peniaga, Syed Qouraisy Syihab ketika melihat salah satu pakaian baju melayu pengularan AA Collection semasa mengadakan sesi ramah mesra bersama Pengusaha Grand Bazar Ramadan Raya 2019 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 27 MEI 2019

Sebelum ini, Kementerian Pembangunan Usahawan mengkaji semula cadangan pindaan Akta Koperasi 1993 dan Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2007 bagi meningkatkan sumbangan koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pindaan yang dibuat itu juga selari dengan hala tuju kerajaan dalam memastikan sektor koperasi kekal relevan dan kompetitif kepada pembangunan negara.

Pencapaian sektor koperasi sehingga Jun 2018 menunjukkan perolehan mencecah sebanyak RM22.5 bilion, manakala aset berjumlah RM140.4 bilion dengan keanggotaan seramai 6.55 juta orang di seluruh negara. – MalaysiaGazette