Home Sukan Aston Villa kembali ke Liga Perdana Inggeris

Aston Villa kembali ke Liga Perdana Inggeris

LONDON – Aston Villa mengakhiri menamatkan penantian tiga tahun untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Derby County 2-1 pada aksi final playoff Liga Kejuaraan di Wembley, awal pagi tadi.

Skuad kendalian Dean Smith itu tewas pada perlawanan sama kepada Fulham pada tahun lalu.

Namun Villa yang di bawah kapten Jack Grealish akhirnya berjaya semula ke saingan elit bola sepak Inggeris itu yang bernilai sekurang-kurangnya £170 juta (RM902.64 juta).

Villa berada di depan menerusi Anwar El Ghazi pada separuh masa pertama sebelum John McGinn memanfaat sepenuhnya kesilapan penjaga gol Derby untuk meledak gol kedua.

Pemain gantian Derby, Jack Marriott memberi tekanan kepada Villa apabila merapatkan jurang sembilan minit sebelum aksi berakhir.

Namun skuad kendalian Frank Lampard itu terpaksa akur tewas aksi playoff keempatnya dalam enam musim.

Kemenangan Villa melengkapkan slot tiga pasukan dari Liga Kejuaraan ke Liga Perdana musim depan selepas Norwich City dan Sheffield United meraihnya lebih awal. – MalaysiaGazette