Home Nasional Polis sedia siasat semula dakwaan bekas CEO cabul anak

Polis sedia siasat semula dakwaan bekas CEO cabul anak

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bungkusan Kuih Raya PDRM sempena Hari Raya Aidilfitri 2019 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 28 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Polis sedia menyiasat semula kes bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat telekomunikasi di negara ini yang sebelum ini didakwa mencabul secara seksual anak perempuanya.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, segala proses siasatan yang dikendalikan ke atas lelaki berkenaan telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) oleh Jabatan Peguam Negara disebabkan tidak mempunyai bukti kukuh menuduh di mahkamah.

“Kebiasaannya apabila keputusan NFA, berkemungkinan ia disebabkan oleh tidak mempunyai bukti kukuh (kes CEO), untuk mendapatkan sabitan apabila didakewa di mahkamah dan AG berpendapat proses pendakwaan akan kalah jika dibawah ke mahkamah.

“Bagaimanapun, polis terus bersedia dan mencari juga bukti baharu yang ada dan kes ini bukannya ditutup dan sekiranya ada bukti yang lebih meyakinkan memang pihak AG akan mempertimbanhgkan untuk pendakwaan,” katanya dalam sidang media bersama Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor di Bukit Aman.

Terdahulu beliau hadir menyerahkan Bungkusan Kuih Raya yang disampaikan oleh Pengerusi Perkep Datin Seri Norazrin Marzuki di majlis khas di Mess Pegawai Kanan yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Pada 16 Mei lalu, seorang wanita melaporkan kira kira 15 aduan terhadap individu itu dan antaranya berkaitan dengan dakwaan cabul anak perempuannya.

Sementara itu Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, sejak 2013 polis telah menerima 17 hingga 18 laporan polis dari wanita tersebut ke atas individu yang didakwa mencabul anak kandungnya.

“Kami akan menyemak semula kesemua laporan polis berkenaan termasuk siasatannya sebelum ini (kes CEO Telco).

“Semakan itu telah dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Kanak-kanak dan Wanita (D11) oleh Ketua Penolong Pengarah Asisten Komisioner Choo Lily,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan membincangkannya dalam mesyuarat hari ini mengenai tindakan susulan sambil mengesahkan polis juga menyiasat aduan ancaman pencerobohan dan ancaan bunuh lelaki itu ke atas bekas isterinya.- MalaysiaGazette