KUALA LUMPUR – Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali menyambut baik sindiran Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung penubuhan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Perkasa).
Katanya, sindiran sinis Perdana Menteri kononnya penubuhan Putra sebagai ‘perkembangan baik’ ke arah menggalakkan lagi perpecahan Melayu adalah kenyataan pukul dulang paku terserpih.
Menurut beliau, Putra ditubuh adalah atas semangat dan contoh yang dimulakan pemimpin yang menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
“PPBM telah berjaya menghancurkan UMNO semasa PRU 14, kerana itu yang dikehendaki oleh orang Melayu.
Sebutlah apa sahaja alasan kerana ada pihak sentiasa bersikap orang lain sahaja tidak betul, tapi diri sendiri tidak pernah rasa bersalah.
“Maka PPBM telah mengorak langkah ke arah matlamat 100 parti Melayu,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Beliau menjawab kenyataan Dr. Mahathir semalam, bahawa penubuhan sebuah lagi parti politik adalah perkembangan baik untuk menggalakkan lagi perpecahan Melayu.
Pengerusi PPBM itu dilaporkan berkata, situasi mutakhir ini hanya akan mengakibatkan tiada lagi parti tunjang khususnya untuk kaum Melayu.
Menurut Dr. Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), sebelum PPBM yang mengambil langkah bijak menubuhkan parti itu bagi menjaga perpaduan Melayu ialah Parti keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN).
“Malangnya, PPBM jatuh nombor tiga. Jika parti Putra jatuh nombor empat, masih ada 96 lagi parti Melayu yang patut ditubuhkan untuk mencapai 100 parti,” katanya.
Beliau memberitahu, bezanya jika silap parti itu ditubuhkan dibandingkan dengan PPBM yang menjaga kepentingan Melayu ialah Putra tidak bersekongkol dengan DAP.
“Banyak bezanya pemimpin Putra dengan yang lain setakat ini ialah ‘bikin tidak seperti cakap’ dan pemimpin Putra tidak nampak gajah depan mata, tapi nampak kuman di seberang laut.
“Perbezaan yang amat ketara ialah Putra baru ditubuhkan berbanding PPBM yang menyertai PRU 14 dan telah menyumbang peranan bermakna ke arah perpaduan Melayu.
“Hasilnya dapat kita lihat bersama di mana landskap politik negara telah berubah dari Malaysia lama kepada Malaysia baharu. Hebatkan,” ujar beliau.
Oleh itu, jelas Dr. Ibrahim, yang perlu disindir ialah parti Putra walaupun baharu lahir dan belum pun lagi menyertai PRU, tapi jasanya begitu besar menyumbang ke arah perpecahan Melayu.
Di Malaysia sekarang, katanya, banyak perkara aneh berlaku ibarat hujan naik ke langit.
“Kata dulang paku serpih kerana mengata orang kita yang lebih. Salah dan buruk orang kita nampak, tapi diri sendiri sepanjang masa rasa betul ibarat mengajar itik berenang.
“Buat apa yang saya suruh kerana saya sahaja yang betul. Orang lain tidak betul, tapi saya sahaja yang betul. Tak percaya tengok rekod,” katanya.
Beliau turut menyindir tanggapan Dr. Mahathir, kononnya Presiden Putra yang bernama Ibrahim Ali sentiasa dilihat tidak pernah betul sejak dulu, kini dan mungkin selamanya.
Namun, katanya, bersifat konsisten dengan pendirian adalah sebesar-besar kelemahan pimpinan Putra, tapi akan menyelamatkan kepentingan Melayu, perjuangan dan perpaduan kaum itu sebenarnya.
Siapa dan parti manakah sudah berjasa kepada perpaduan Melayu setelah menang sorak kampung tergadai. Sudah pasti tidak Putra yang baru lahir.
“Amalan kepimpinan pecah dan perintah sebenarnya menjadi punca perpecahan, bukan banyak parti. Demikian kata-kata hikmat Pak Ibrahim Ali Pahlawan Melayu Terakhir,” katanya.
“Tun Mahathir dan Tok Him sebelum ini seperti bapa dan anak. Jika bapa tubuh Bersatu, maka anak tubuh Putra. Inilah yang dikatakan bapa borek anak rintik,” katanya. – MalaysiaGazette