Home Nasional Buka puasa di kuil Sikh kurang hikmah

Buka puasa di kuil Sikh kurang hikmah

Akmal Nasir
Akmal Nasir

BANGI – Majlis Iftar Muhibbah anjuran Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir di Kuil Gurdwara Sahib mendapat pandangan berbeza daripada penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin.

Menurut beliau, tindakan Akmal untuk berbuka puasa di kuil itu sememangnya satu langkah yang suci namun Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu harus meneliti implikasinya daripada pandangan masyarakat.

“Saya kalau jumpa Akmal nak bagitahu tindakan itu sepatutnya lebih berhikmah sebab saya rasa cara dia kurang berhikmah walaupun tindakan itu baik tapi hikmah itu kurang.

“Dia kena fikir pasal implikasi dari serangan media dan netizen, Isma dan Pas juga,” katanya ketika ditemui dalam satu majlis di Bangi semalam.

Semalam, Akmal hadir bersama kira-kira 300 hadirin untuk berbuka puasa di kuil berkenaan.

Majlis berjalan lancar dan diadakan di dewan utama rumah ibadat tersebut yang memuatkan kira-kira 30 meja besar.

Antara yang hadir termasuk komuniti Cina dan India termasuk wakil-wakil daripada Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan jemaah Masjid India Muslim Johor Bahru.

Ini termasuk juga Presiden Gurdawara Sahib Johor Bahru, Manjit Singh Rakmu, Naib Presiden MACMA, Mohd. Shaiful Choo, Konsulat Jeneral Singapura di Johor Bahru, Rajpal Singh dan Timbalan Pengerusi Masjid India Muslim Johor Bahru, Muhyidin Hamid.

Mengulas lanjut, Wan Ji berkata berbuka puasa mahupun di rumah ibadah bukan Islam adalah tidak salah malah dari segi hukumnya juga tidak menjadi kesalahan.

“Isunya dari persepsi orang Melayu. Saya berpandangan ada positif dan negatifnya dalam isu ini.

“Positifnya adalah tindakan itu paling kurang telah memperkenalkan ibadat Islam dalam rumah ibadat bukan Islam. Saya rasa itu amat penting.

“Negatifnya pulak apabila ada kalangan pejuang-pejuang Melayu dalam negara yang kononnya atas nama agama mereka tidak setuju dan bermain dengan persepsi kononnya sebagai plurisme,” katanya.

Mengulas lanjut Wan Ji turut menasihat netizen agar melihat dari segi positif tentang penganjuran program iftar itu.

Katanya, Akmal dilihat cuba untuk berdakwah dan kesannya amat besar kepada bukan Islam.

“Pihak netizen patut fikir daripada sudut yang positif sebab kita nampak kesan dakwah itu agak besar dan kita boleh masuk dalam rumah ibadat bukan Islam adalah satu benda yang bukan senang. Saya rasa itu satu benda yang kita kena tengok sudut lain,” katanya lagi.

Sebelum ini banyak pihak membantah penganjuran majlis berbuka tersebut hingga menjadi tular dalam media sosial kerana dikatakan tidak sesuai diadakan dalam rumah ibadat berkenaan. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Akmal Nasir beri penjelasan iftar di Gurdwara