Home Politik PPBM mohon maaf debat bersama Nazri dibatalkan

PPBM mohon maaf debat bersama Nazri dibatalkan

Debat Nazri-Tun Mahathir tidak menguntungkan sesiapa.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini memohon maaf kepada umum ekoran pembatalan dialog antara pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa parti itu sudah bersedia untuk bersama-sama penyokong mereka dalam memberikan sokongan kepada Mahathir untuk majilis berkenaan.

“Dialog antara Mahathir dan Nazri telah diluluskan permit oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pihak kami telah bersedia.

“Namun, semalam penganjur, Sinar Harian menerima surat menyatakan permit telah ditarik balik. Maka, dialog ini telah dibatalkan. Kami turut memohon maaf kerana tidak dapat bersama di dalam forum ini,” kata parti itu dalam satu kenyataan hari ini.

Debat terbuka itu sepatutnya berlangsung 7 April depan di Dewan Karangkraf, Seksyen 15 secara tiba-tiba dibatalkan oleh pihak polis atas alasan keselamatan.

Perkara itu diumumkan Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacob.

Pembatalan itu diterima pihaknya selepas menerima surat daripada Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, petang semalam.

Sebelum ini, polis turut melarang penganjuran debat antara kedua-dua tokoh politik itu yang pada awalnya dijadualkan pada 25 Mac lalu di MRSM Sultan Azlan Shah, Padang Rengas, Perak atas faktor keselamatan.-MalaysiaGazette.