KUALA LUMPUR- Felcra Bhd. akan membuat bayaran Bantuan Sara Hidup berjumlah RM44.40 juta bagi tempoh Ogos 2018 sehingga Mei ini kepada 17,161 orang peserta dalam kalangan B40.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Nazrul Izam Mansor, ini adalah susulan kelulusan dan penyaluran bantuan sara hidup peserta Felcra berjumlah RM73. 476 juta oleh kerajaan baru-baru ini.
Ia juga merupakan bayaran tunggakan bagi tempoh Ogos 2018 hingga Disember 2019.
“Kerajaan sangat prihatin akan nasib peserta FELCRA dari kalangan B40 ini, dan untuk itu telah meluluskan bayaran bantuan sara hidup ini terutama ketika peserta berhadapan dengan situasi tanam semula sahaja, kerana di dalam tempoh ini, ladang-ladang mereka masih belum mengeluarkan hasil.
“Komitmen padu daripada kerajaan ini telah memberi ruang kepada warga peserta menambah kegembiraan dan kesyukuran sempena menyambut Syawal yang mulia ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Bantuan Sara Hidup FELCRA merupakan skim pendahuluan kewangan kepada peserta-peserta yang terlibat dengan tanam semula dengan bantuan adalah pada kadar RM70 seekar.
Tambah Mohd. Nazrul, tempoh bayaran pendahuluan itu diberikan selama empat tahun untuk tanaman sawit dan enam tahun bagi getah.- MalaysiaGazette