Home Nasional Prolintas tawar 10% diskaun tol pada Hari Raya pertama

Prolintas tawar 10% diskaun tol pada Hari Raya pertama

KUALA LUMPUR – Kumpulan Prolintas mengumumkan diskaun tol sebanyak 10 peratus di kesemua lebuh raya kendaliannya iaitu
Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Kajang SILK (SILK) sempena perayaan Aidilfitri.

Kadar tol selepas diskaun bagi keempat-empat lebuh raya tersebut adalah untuk kelas 1 pada hari raya pertama,
bermula jam 12 tengah malam, Rabu, 5 Jun 2019 hingga 11.59 malam pada hari yang sama.

Menurut Ketua Pegawai Operasi (Projek dan Operasi) Prolintas, Ir. Rostam Shahrif Tami, pemberian diskaun ini adalah salah satu usaha Prolintas untuk mengurangkan kos perbelanjaan pengguna lebuh raya khususnya yang akan menyambut kedatangan Syawal.

“Dengan penawaran diskaun tol ini diharapkan dapat menambahkan lagi keceriaan sambutan Aidilfitri dan dengan usaha ini juga, kami percaya lebuh raya kendalian Prolintas akan sentiasa menjadi pilihan utama pengguna,” katanya.

Lorong tambah nilai di kesemua lebuh raya kendalian Prolintas akan beroperasi seperti biasa iaitu dari jam 10 pagi hingga 4 petang dan 8 malam hingga 10 malam setiap hari manakala Pusat Khidmat Pelanggan dibuka dari jam 7 pagi hingga 10 malam.

Pengguna GCE dan LKSA juga dicadangkan untuk membuat urusan tambah nilai di kiosk layan diri yang ditempatkan di beberapa lokasi sepanjang lebuh raya tersebut. – MalaysiaGazette