Home Nasional Kedaifan hidup nenek dua cucu buka mata Lincoln Universiti

Kedaifan hidup nenek dua cucu buka mata Lincoln Universiti

Pensyarah Fakulti Sosial Sains dan Kemanusiaan Lincoln University College, Noor Azizan Atdenan (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Rohana Ana Abdullah (tengah) ditemani ibu mertuanya, Riah Esin ketika temubual bersama Malaysia Gazette di Felda Bukit Cerakah, Klang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 29 MEI 2019

KLANG – Hidup dalam serba kekurangan dan kesempitan wang membuka mata Kolej Universiti Lincoln (LUC) untuk membantu dua beradik Dayyan dan kakaknya, Diana Azman yang kini tinggal bersama neneknya, Rohana Anna Abdullah.

Siang tadi, empat kakitangan dan pensyarah Lincoln UC,yang diketuai Pensyarah Fakulti Sosial Sains dan Kemanusiaan, Noor Azizah Atdenan turun melihat sendiri keadaan keluarga peneroka Felda ini.

Noor Azizah berkata pihaknya akan cuma sehabis baik dalam membantu keluarga ini dalam meringankan beban mereka.

“Kita nampak betapa mereka perlukan bantuan. Saya akan panjangkan kepada Pro Canselor Lincoln Universiti.

“Dia akan berbesar hati kalau dapat tahu kita nak bantu keluarga ini dan ini kali pertama kami terlibat dalam program seperti ini dan saya akan cuba dapatkan pelbagai jenis bantuan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Bantuan berupa keperluan asas turut disalurkan hasil kutipan daripada pelajar dan kakitangan Lincoln University.

MGF29052019_TEMUBUAL ROHANA ANA ABDULLAH_25
Pensyarah Fakulti Sosial Sains dan Kemanusiaan Lincoln University College, Noor Azizan Atdenan ketika temubual bersama Malaysia Gazette di Felda Bukit Cerakah, Klang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 29 MEI 2019

Beliau akan menganjurkan satu program khidmat masyarakat melibatkan pelajar-pelajarnya dalam proses untuk membersihkan rumah keluarga dua beradik ini yang diabaikan ibu mereka.

“Untuk tindakan seterusnya, saya bawa kakitangan daripada hal ehwal pelajar untuk dilibatkan pelajar Lincoln untuk lihat bagaimana kita boleh aturkan khidmat masyarakat di rumah ini,” katanya lagi.

Kesempitan hidup Dayyan dan kakaknya, Diana Azman yang kini tinggal bersama nenek Anna mula dilaporkan MalaysiaGazette pada minggu lalu.

Hasil maklumat daripada pegawai Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), keluarga ini ditemukan sejak diabaikan oleh ibu mereka sendiri yang sudah berkahwin lain.

Lebih menyayat hati, rumah yang didiami kelima-lima mereka hanya menunggu masa untuk roboh dan mengalami kerosakan teruk.

Malah setiap kali hujan, kawasan rumah terutamanya ruang tamu akan dipenuhi air kerana bumbung bocor.

Kepada yang ingin menyalurkan sebarang bantuan boleh terus ke rumah mereka di alamat No 72, Jalan 18, Felda Bukit Cerakah, Kapar, 42200, Klang Selangor.

Atau teruskan ke akaun CIMB Bank milik PPIM yang bernombor 8001230731 dan tuliskan ‘Rumah Anna’ pada rujukan pemindahan wang. – MalaysiaGazette

Dua beradik diabaikan ibu, rumah pula nak roboh