Home Nasional ‘Quiet book’ bantu jauhi anak kecil daripada gajet

‘Quiet book’ bantu jauhi anak kecil daripada gajet

KUALA LUMPUR – Pada era teknologi masa kini, yang mana telefon pintar, tablet dan komputer menjadi gajet ‘mesti’, menjadi cabaran kepada golongan ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka yang masih kecil terhindar daripada ketagihan gajet-gajet tersebut.

Bahkan, kes kanak-kanak yang mengalami ‘myopia’ atau rabun jauh, serta turut memberi kesan kepada perkembangan saraf motor semakin membimbangkan, akibat banyak didorong dengan penggunaan gajet tanpa had masa.

Sebelum ini, media melaporkan kajian oleh ‘Segamat Paediatric Eye Disease Study’ yang dijalankan bersama Kementerian Kesihatan pada 2018, mendapati myopia menjejaskan satu peratus daripada 1,287 kanak-kanak seawal umur empat hingga enam tahun.

Meluahkan kerisauan berhubung perkara itu, seorang pengurus di sebuah syarikat insurans, Nadia Amat, 30, terpanggil untuk menghasilkan sebuah buku mainan sambil belajar, iaitu ‘Quiet Book’ bagi mengalihkan perhatian anak-anaknya daripada menggunakan gajet.

Nadia berkata, idea menghasilkan buku fabrik itu melalui pencariannya di laman sesawang, YouTube, ketika mencari penyelesaian bagi dua anak lelakinya, masing-masing berusia tiga dan satu tahun, yang terlalu kerap menonton pelbagai video animasi di YouTube.

“Sebelum ini mereka gemar bermain ‘games’ dalam telefon pintar atau tengok video di YouTube, tetapi kini agak mengejutkan apabila anak-anak saya lebih gemar bermain dengan buku ini (Quiet Book) dan mereka boleh habiskan masa dua jam, dengan senyap dan fokus bermain buku ini.

“Lebih puas hati sebab saya rasa buku ini juga membantu meningkatkan daya pemikiran anak-anak saya, serta perkembangan ‘motor skills’ mereka melalui pelbagai aktiviti pembelajaran, seperti mengenal pasti bentuk dengan membezakan warna,” katanya kepada Bernama.

Nadia menjahit sendiri buku tersebut dengan menggunakan beberapa bahan kraftangan, antaranya fabrik jenis felt, patches, foam, reben, manik, dan butang. Mengakui bahawa seni kraftangan bukanlah minat atau hobinya, Nadia tidak menyangka ‘Quiet Book’ menjadi sumber kedua pendapatannya sejak Disember lepas.

“Pada awalnya, saya buat ‘Quiet Book’ untuk anak-anak saya sahaja, tetapi lama-kelamaan saya jadi semakin suka dan seronok dengan proses membuat buku ini, sehingga ada keluarga dan kenalan rapat tempah buku ini dengan saya,” katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) dari Universiti Selangor.

Katanya, sesiapa sahaja boleh menghasilkan ‘Quiet Book’ dengan berpandukan video tutorial di YouTube tetapi, proses penghasilannya memakan masa lebih seminggu untuk sebuah buku kerana memerlukan perincian yang teliti dari segi jahitan dan ukuran.

“Mungkin kebanyakan ibu bapa sekarang tidak mempunyai masa kerana terlalu sibuk bekerja…jadi saya terima tempahan untuk buat ‘Quiet Book’ ini, lebih kepada nak membantu golongan ibu bapa yang mahukan anak mereka menjauhi gajet,” katanya yang menerima tempahan buku itu melalui Facebook (Nadia Amat) dan Instagram (@nadiaamatqb).

Sementara itu, salah seorang pembeli ‘Quiet Book’, yang ingin dikenali sebagai Sue Ling, 32, berkata anak lelakinya yang berusia dua tahun sangat menggemari buku tersebut sehingga jarang melihat anaknya menghabiskan masa menonton pelbagai video animasi di YouTube. – Bernama