Home Sukan Syed Saddiq sambut baik cabaran TMJ

Syed Saddiq sambut baik cabaran TMJ

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika hadir pada Majlis Sumbangan Jakel Raya kepada Asnaf di Jakel Mall, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 30 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyambut baik cabaran perlawanan bola persahabatan di antara pasukannya dengan JDT.

Katanya, beliau akan mengutuskan surat kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung perkara itu.

“Ini merupakan perlawanan persahabatan untuk mengeratkan silaturahim.

“Saya selalu percaya sukan boleh dijadikan jambatan untuk menyatukan kita semua.

“Sukan bukan sahaja satu aktiviti kecergasan malah ejen perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan hari raya kepada 50 orang miskin tajaan Jakel di sini hari ini.

Malam tadi Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini menyatakan kesediaan untuk bertemu pasukan Syed Saddiqdalam perlawanan bola sepak di Larkin.

Dalam ciapannya, dia menulis “Cabaran diterima, Larkin akan dibuka untuk pasukan ‘Picasso’.

“Pertembungan seperti ‘gladiator’ ini mesti berlangsung.”

MGF30052019_MAJLIS SUMBANGAN JAKEL RAYA08
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diiringi Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Jakel, Mohd Fuad Ahmad (tiga kiri) bersama orang kelainan upaya (OKU) dari persatuan Asnaf pada Majlis Sumbangan Jakel Raya kepada Asnaf di Jakel Mall, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 30 MEI 2019

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai dakwaan atlet karate negara, Syakilla Salni Jefry Krishnan mengenai Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) tidak memahami beliau, Syed Saddiq berkata, kedua-dua badan sukan tersebut telah memberi bantuan yang sepatutnya kepada atlet berkenaan.

Malah Syed Saddiq sendiri telah mengarahkan Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shafawi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli untuk sentiasa berhubung dengan Syakilla dan melaporkan semua perkembangan atlet berkenaan kepadanya.

“Kalau boleh mereka berjumpa Syakilla dengan lebih kerap dan melakukan sesuatu kerana beliau pernah menduduki ranking nombor satu dunia dan berpotensi untuk mendapat pingat dalam Sukan Olimpik 2020.

“Shafawi dan Faedzal sering memberi maklum balas kepada saya dan salah satu usaha yang kami lakukan adalah dengan membawa semula jurulatih yang diminta Syakilla sendiri supaya beliau boleh berlatih dengan baik,” katanya lagi.

Tambah Syed Saddiq, beliau mahukan pandangan semua pihak termasuk badan sukan, persatuan, atlet-atlet lain dan Syakilla sendiri diambil kira bagi menyelesaikan isu ini

Ketika ditanya mengenai kenyataan bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin bahawa menteri-menteri sekarang kurang bijak berkomunikasi sehingga menjejaskan pertumbuhan negara, Syed Saddiq berkata, semua pihak perlu mengambil teguran tersebut dengan serius. – MalaysiaGazette