Home Politik Didakwa lobi pindaan UMNO, Malaysiakini tidak bertanggungjawab

Didakwa lobi pindaan UMNO, Malaysiakini tidak bertanggungjawab

Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan dakwaan yang menyatakan beliau dan Timbalan Presiden UMNO sedang melobi pindaan perlembagaan UMNO bagi menyingkirkan presiden parti dan Datuk Seri Najib Razak adalah fitnah sama sekali.

Menyifatkan laporan berita itu juga adalah tidak benar kerana tidak ada cadangan pindaan Fasal 9.9 seperti yang didakwa.

“Saya tidak pasti dari mana Malaysiakini mendapat maklumat sedemikian dan saya tuntut mereka membuat kenyataan dan penjelasan.

“Malaysiakini sepatutnya menghubungi saya terlebih dahulu untuk mendapatkan kepastian. Ini adalah perkara paling mudah untuk dilakukan. Malangnya, berita dan laporan tersebut dikeluarkan tanpa mendapat makluman dan ulasan daripada saya yang dipetik dalam laporan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan keadaan ini, Khaled percaya laporan portal tersebut bukan sahaja tidak benar, berunsur fitnah dan mengelirukan tetapi sangat tidak bertanggungjawab, malah berniat jahat.

Jelasnya, tidak mustahil kini Malaysiakini seolah-olah cuba menjadi media yang tidak neutral dan dipandu oleh pihak-pihak tertentu untuk kepentingan tersendiri.

“Saya tuntut agar laporan tersebut diturunkan serta merta. Ini adalah satu amalan yang sangat tidak beretika dan Malaysiakini tidak seharusnya menjadi dalang dalam menyemai kekeliruan dalam masyarakat,” kata Naib Presiden UMNO itu.

Portal itu melaporkan Mohamad Hasan didakwa antara tokoh di belakang cadangan agar perlembagaan parti dipinda bagi mengketepikan pemimpin yang didakwa di mahkamah.

Memetik sumber, Straits Times melaporkan Mohamad sedang melobi syor berkenaan, bersama dengan sekutunya, Khaled, yang ditugaskan untuk meminda perlembagaan parti.

Pada awal bulan ini, sumber memberitahu portal tersebut bahawa UMNO sedang berusaha untuk meminda Fasal 9.9 perlembagaannya pada mesyuarat agung luar biasa yang dijadualkan pada bulan November.

Jika cadangan berkenaan diterima, ia boleh membawa kepada penyingkiran beberapa pemimpin kanan UMNO, termasuk presidennya, Ahmad Zahid Hamidi yang sedang bercuti.

Turut akan tersingkir adalah bekas presiden parti itu, Najib yang kini mengetuai UMNO Bahagian Pekan. – MalaysiaGazette