Home Politik Tidak bentang RUU355 mainan politik BN – Mat Sabu

Tidak bentang RUU355 mainan politik BN – Mat Sabu

Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) berpendirian keengganan Barisan Nasional (BN) mengambil alih perbentangan pindaan Akta 355 daripada Pas hanya bersifat permainan politik parti itu.

Menurut Presidennya, Mohamad Sabu, keengganan BN untuk berbuat demikian setelah dua kali ditangguhkan sudah lama dihidu oleh parti serpihan Pas itu.

“Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa Kerajaan Persekutuan tidak akan membentangkan pindaan Akta Mahkamah Syariah 1965 (RUU 355) di Parlimen ekoran keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional tidak mengejutkan kami dari Parti Amanah Negara.

“Hari ini terbukti bahawa segala-galanya hanyalah permainan politik UMNO dan Barisan Nasional.

“Sejak awal lagi kami mengambil pendirian jika benar-benar kerajaan ikhlas dan yakin bahawa isu RUU 355 sebagai keperluan penting perundangan dan isu substantif, pastinya kerajaan sendiri akan mengambil inisiatif memindanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PAN dalam pada itu menuduh BN sebagai agen perpecahan antara Pas dan Pakatan Harapan (PH) yang membuatkan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu enggan menyertai PH.

“Oleh kerana motif sebenarnya ialah kepentingan politik maka RUU 355 telah digunakan sebagai umpan untuk menarik Pas keluar dari muafakat Pakatan Rakyat. Lalu berlakulah apa yang berlaku sehingga kemudiannya Pas berpecah selepas berlakunya pembersihan golongan progresif dan pro-PR,” katanya yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu.

Minggu lalu, BN menerusi Pengerusinya Najib mengumumkan bahawa parti itu memutuskan tidak ada wakil kerajaan akan membentangkan RUU355.

Keputusan itu dibuat berdasarkan konsensus dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

Sebelum itu, beberapa pimpinan UMNO ada menyatakan kemungkinan RUU355 akan dibentangkan wakil kerajaan pada Dewan Rakyat.

Justeru Mat Sabu berkata, sudah pastinya BN akan mementingkan perhitungan politiknya sebelum mendokong pindaan RUU355 yang dibawa oleh Pas.

“(Datuk Seri) Najib dan pimpinan UMNO telah ‘melayani’ kehendak Pas seolah-olah menyokong RUU355 ini. Sekarang seluruh rakyat jelas kedudukan perkara ini bahawa perhitungan kepentingan politik UMNO-BN menentukan dan mengatasi segala-galanya,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu berkata, pengundian terhadap RUU 355 dijangka tidak akan dibuat pada sidang Dewan Rakyat.

Penentuan mengenai RUU itu bagaimanapun katanya, tertakluk kepada bidang kuasa Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

“RUU 355 ini akan dibentangkan anggota Parlimen Marang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang). Kita serahkan kepada budi bicara Speaker sama ada huraian pindaan ini
akan diberikan secukupnya dan perbahasan akan dibuat atau sebaliknya.

“Tetapi, saya yakin pengundian (RUU 355) tidak akan dilakukan,” katanya. -MalaysiaGazette