WASHINGTON – Donald Trump mengumumkan tarif baharu kepada semua barangan dari Mexico, tindakan terkininya dalam mengekang pendatang asing.
Menerusi Tweetnya, Presiden Donald Trump berkata, tarif itu akan dikuatkuasakan mulai 10 Jun dan naik secara berperingkat-peringkat sehingga masalah pendatang dapat diselesaikan.
Trump telah mengisytiharkan kecemasan negara untuk menangani apa yang dikatakannya sebagai krisis di sempadan selatan Amerika Syarikat.
Ejen-ejen sempadan dakwa kebanjiran pendatang asing terlampau banyak tetapi para pengkritik pula mendakwa ia berlaku kerana pihak berkuasa gagal menangani dan tersilap dalam berdepan dengan mereka.
Jesus Seade, diplomat terkemuka Mexico untuk Amerika Utara berkata, tarif itu akan mengundang “bencana”.
“Sekiranya ini dilaksanakan, kita mesti bertindak balas dengan penuh semangat,” katanya kepada pemberita.
Semasa kempen pilihan raya dan sepanjang menjadi presiden, Trump telah berusaha untuk mendapatkan dana bagi membina tembok di sempadan Amerika Syarikat-Mexico.
Trump berharap mendapat dana bagi pembinaan halangan itu di bawah deklarasi darurat tetapi hakim persekutuan telah menghalang usahanya pada Mei lalu.
Presiden itu berkata, tarif tersebut akan naik sebanyak 5.0 peratus setiap bulan sehingga 1 Oktober apabila kadarnya mencecah 25 peratus.
“Tarif ini akan kekal pada tahap itu “melainkan jika dan sehingga Mexico dapat menghentikan aliran masuk pendatang haram yang datang melalui wilayahnya.
“Selama bertahun-tahun, Mexico tidak adil dengan kami – tetapi sekarang kami menegaskan hak kami sebagai negara yang berdaulat,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette