Home Nasional Pemilikan rumah: Lebih 30 tahun pekerja estet ditipu

Pemilikan rumah: Lebih 30 tahun pekerja estet ditipu

Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, A. Sivarajan (tengah) diiringi Ahli Jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia, V. Selvam (tiga kiri) bergambar bersama pekerja ladang pada sidang media mengenai pekerja ladang yang tertipu dengan bantuan perumahan di Brickfields, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 31 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Lebih 30 tahun para pekerja estet berjuang untuk memiliki rumah sendiri namun perjuangan itu nampaknya tidak ada penghujungnya.

Ini kerana, selama ini para pekerja estet didakwa terus menjadi mangsa penipuan sama ada dari Kerajaan Persekutuan, mahupun kerajaan negeri berhubung pemilikan rumah untuk mereka.

Ternyata segala janji dan kenyataan berhubung perkara itu sekdar kenyataan kosong tanpa asas.

Lebih mengejutkan, sehingga hari ini tidak ada sebarang dokumen, minit mesyuarat atau draf bagi membuktikan wujudnya  tuntutan pekerja ladang sejak lebih tiga generasi yang mahu majikan menyediakan rumah kos rendah.

MGF31052019_Sidang Media PSM_05
Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, A. Sivarajan bercakap pada sidang media mengenai pekerja ladang yang tertipu dengan bantuan perumahan di Brickfields, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 31 MEI 2019

Menurut Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), A Sivarajan, pihaknya sudah tidak sabar lagi kerana apa yang telah dilakukan oleh pimpinan politik khasnya menteri yang dipertanggungjawabkan dengan kemelut itu hanya sekadar mengeluarkan kenyataan serta janji kosong.

“Saya boleh beri anda semua senarai kenyataan, janji retorik seperti beberapa draf sehingga peringkat akhir sebelum dihantar ke Kabinet telah disediakan namun sudah lebih 30 tahun tidak ada apa-apa yang dilakukan.

“Sebagai contoh, pada tahun 1990 Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Pathmanaban berkata, wujudnya jawatankuasa khas pemilikan rumah untuk pekerja ladang tetapi tidak ada apa-apa.

“Pada 1991, kerajaan negeri Selangor mengeluarkan kenyataan akan mengambil tanah majikan yang enggan menyediakan rumah untuk pekerja estet. Tidak ada apa-apa.

“Kemudian pada 1992, kerajaan berkata lagi adanya pindahan kepada Akta Pengambilan Tanah tetapi apa sudah jadi? Pada 1994, notis dari kerajaan negeri kononnya ada implementasi Skim Perumahan Pekerja Estet dan Perlombongan, tetapi tidak ada langsung.

“Pada tahun 1995, Menteri Besar Tan Sri Muhammad Taib berjanji akan menggunakan akta pengambilan tanah terhadap mana-mana majikan yang berdegil tetapi kemudian tidak lakukan apa-apa sehingga kini dan kerana itu mereka besar kepala.

“Menteri Besar Selangor selepas Muhamad Taib, Datuk Abu Hassan Omar pula memberikan jaminan kepada pekerja estet tindakan oleh majikan tidak akan dikompromi lagi tetapi kemudian tidak ada apa-apa berita lagi.

“1999 pula, Menteri Sumber Manusia, Datuk Lim Ah Lek pula memberi kenyataan media satu kertas kabinet mengenai perumahan untuk pekerja estet telah hampir siap di peringkat akhir, untuk 20 tahun anda siapkan kertas tersebut?

“Malah menteri mengakui sudah ada jawatankuasa nasional untuk implementasi dan pantau polisi untuk pekerja estet bagi pemilikan rumah sendiri, kami ingin tanya mana polisi itu? Mana jawatankuasa itu?

“Sejak 2012, PSM berusaha untuk bekerjasama dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) merangka satu enakmen peringkat negeri Selangor yang mendesak empunya ladang atau majikan membina rumah tetapi sehingga kini tidak ada sebarang perkembangan.

“Apa yang saya boleh katakan cuma satu, selama lebih 30 tahun ini semua ini hanya kosong.

“Apa yang terjadi kepada pekerja estet di Bukit Beruntung yang sedang menanti rumah mereka sendiri sejak sekian lama terus menjadi tanda tanya,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Sivarajan menyambung, rata-rata pekerja ladang ini kira-kira 54 keluarga itu sedang menanti rumah yang telah dijanjikan malah perjanjian jual beli dibuat sejak tahun 1999 oleh majikan, Prospell Enterprise, juga berputih mata lagi.

“Sehingga kini bukan sahaja pemilik ladang, Prospell Enterprise hanya berjanji untuk membina rumah dengan harga RM25,000 sekitar tahun 90-an dan kini harga rumah murah sudah mencecah sehingga RM42,000 namun tidak ada apa-apa.

“Ada juga pekerja ladang yang telah membayar antara RM5,000 sehingga RM25,000 namun ‘habuk’ pun mereka tidak nampak.

“Lebih dikesalkan apabila majikan sendiri berlagak kerana kita tidak ada undang-undang yang boleh dikenakan ke atas  mereka yang menganiyai pekerja mereka sendiri.

“Apa yang sedang berlaku? Mengapakah pekerja ladang kita diperlakukan seperti ini? Macam-macam janji, ketika pertemuan kita dengan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ganabatirau, beliau sendiri mengakui tidak apa-apa catatan, dokumen ataupun minit mesyuarat berkaitan isu ini.

“Yang peliknya, rata-rata pimpinan ini bercakap seperti seolah-olah enakmen atau akta ini sudah dalam peringkat kajian atau entah apa-apa tetapi kini kami dapat tahu minit mesyuarat berhubung perkara ini untuk rujukan sendiri tidak ada ada atau wujud sebarang jawatankuasa.

“Selama 30 tahun kita telah berharap kerajaan mengambil langkah seperti memperkenalkan undang-undang atau enakmen bagi menangani isu, di mana majikan perlu membina rumah untuk pekerja-pekerja estet ini.

“Jadi cukuplah untuk berbohong dan terus berbohong seperti ini. Cukuplah. Sudah 30 tahun, masa untuk anda semua berhenti, kerajaan baharu tidak sepatutnya mencontohi kerajaan terdahulu sebaliknya penyelesaian perlu di cari. Jangan cakap dalam peringkat kajian lagi,” tegasnya.

Sivaajan menggesa kerajaan PH untuk memastikan pemilik ladang membina rumah untuk pekerja estet atau menyerahkan sahaja tanah tersebut kepada Kementerian Oerumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk laksanakan inisiatif itu.

“Jangan cerita tentang lambakan pekerja asing atau ramai pekerja estet sudah tinggalkan kawasan ke tempat lain kononnya tidak berminat dengan kerja perladangan sehingga terpaksa membawa masuk warga asing.

“Selain Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri juga perlu membentuk enakmen mendesak pemilik ladang membina rumah pekerja atau menggunakan Akta Pengambilan Tanah.

“Atau mengatur syarikat GLC kerajaan negeri mahupun KPKT untuk membina rumah, jangan berterusan bagi kenyataan sahaja seperti dulu, ” ujarnya. – MalaysiaGazette