Home Ekonomi RAM unjur KDNK berkembang 4.6%

RAM unjur KDNK berkembang 4.6%

Amirsham A. Aziz

KUALA LUMPUR – RAM Holdings Bhd mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun ini akan berkembang pada 4.6 peratus, didorong oleh penggunaan swasta yang berdaya tahan.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu bagaimanapun menyatakan, faktor ketidaktentuan global dan ekonomi domestik akan terus memberi kesan terhadap pasaran modal serta sentimen perniagaan.

Pengerusinya, Tan Sri Amirsham A. Aziz berkata,  pasaran bon korporat kekal sihat dan setakat April 2019, terbitan kasar bon korporat berjumlah RM37.5 bilion, kebanyakannya merangkumi terbitan daripada sektor swasta dan kuasi kerajaan.

“Kami telah menyemak naik sasaran terbitan kasar bon korporat kepada antara RM90 bilion dan RM100 bilion bagi 2019 daripada M70 bilion dan RM80 bilion pada 2018 dengan mengambil kira momentum pada awal tahun yang lebih baik daripada jangkaan serta cadangan terbitan bagi tempoh berbaki tahun ini,” katanya bersempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-28 syarikat itu di sini, hari ini.

Selain itu, Amirsham berkata, RAM akan kekal cerdas dan mesra pasaran untuk berdepan saingan sengit dalam pasaran serta perubahan teknologi yang melanda industri perkhidmatan kewangan.

RAM turut membangkitkan bahawa subsidiari utamanya, RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) telah mengekalkan kedudukan sebagai peneraju dalam pasaran bon domestik dengan meraih 73 peratus daripada jumlah terbitan baharu pada 2018 manakala RAM Consultancy Services Sdn Bhd (RAMC) mendapat sambutan dari segi memacu kemapanan perkhidmatan dan analisis alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

RAMC juga merupakan penyedia penarafan kemapanan pertama di ASEAN dan Pemerhati Berdaftar Prinsipal Bon Hijau, Prinsipal Bon Sosial dan Garis Panduan Kemapanan Persatuan Pasaran Modal Antarabangsa di rantau ini.

Anak syarikat lain, RAM Solutions Sdn Bhd pula menerbitkan pendapat kredit kepada tiga usaha sama di bawah Platform Pelaburan yang berjaya mengumpulkan pembiayaan sebanyak RM46 juta pada 2018.

Sementara itu, pada AGM kali ini, RAM telah meluluskan dividen satu peringkat pertama dan akhir sebanyak 35 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018 yang didorong oleh hasil sebanyak RM44.32 juta. – MalaysiaGazette