KUALA LUMPUR – Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian berkongsi pandangannya mengenai persahabatan antara China dan Malaysia, yang dibina atas dasar kepercayaan, saling menghormati, persamaan dan keikhlasan antara satu sama lain.
Dalam satu artikel khas yang ditulis dan ditandatangani beliau dan dimuat naik dalam Facebook rasmi Kedutaan hari ini, Duta Besar itu berkata hubungan dua hala antara China dan Malaysia “yang terjalin sejak 45 tahun bermula dari sekecil-kecilnya perhubungan sehingga ia berkembang luas hingga ke hari ini.”
“Andai (kita) mengibaratkan persahabatan yang terjalin itu umpama sepohon pokok, kepercayaan politik menjadi baja yang menyuburkannya. Pemimpin kedua-dua negara telah memainkan peranan penting dalam mengalakkan persahabatan China-Malaysia,” katanya.
Tambahnya, walaupun kedua-dua negara sering berbeza pendapat dalam kebanyakan isu, kedua-dua pihak sentiasa menangani perbezaan itu melalui rundingan, kesepakatan dan saling mempercayai.
Malaysia negara pertama di rantau ini yang mempunyai hubungan diplomatik dengan China, apabila perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein melawat negara itu pada 1974.
Sejak itu, hubungan China-Malaysia semakin erat berkembang dalam pelbagai bidang termasuk diplomasi, ekonomi, perdagangan, pertanian, pertahanan dan keselamatan.
“(Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad melawat China sebanyak sembilan kali dalam tempoh dua penggal menjadi Perdana Menteri Malaysia. Pada majlis ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik antara China dan Malaysia tahun ini, Tun Mahathir melawat China bagi menghadiri Forum Jalur dan Laluan Untuk Kerjasama Antarabangsa.
“Di luar forum berkenaan, Tun Mahathir mengadakan pertemuan dengan pemimpin negara itu dan bertukar-tukar pendapat mengenai rangka kerja untuk kerjasama baharu antara China-Malaysia,” katanya.
Menurutnya, 45 tahun lalu, jumlah dagangan dua hala antara China dan Malaysia hanya US$159 juta, menjelang 2018 ia meningkat kepada US$108.6 bilion – peningkatan lebih 600 kali.
“Projek ‘Taman Berkembar Kedua-dua Negara’ berjalan lancar dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Bandar Malaysia dimulakan semula, sementara kerjasama seperti Zon Perdagangan Bebas Digital Geely Proton dan Alibaba Malaysia sedang berjalan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang komited untuk memperkukuhkan persahabatan China-Malaysia sejak 45 tahun lalu.
“China dan Malaysia akan bersahabat selamanya, membantu satu sama lain dan meneruskan pembangunan bersama untuk jangka masa panjang. Semoga persahabatan yang terjalin berkekalan selamanya,” ujar Bai Tian. – Bernama