KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menempelak golongan dalam PKR yang mendesak agar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menetapkan tarikh penyerahan kuasa kepada presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ujar beliau, kenapa perlu ada desakan untuk Dr Mahathir menyerahkan kuasanya kepada Anwar kerana berdasarkan perjanjian, ia masih berbaki tempoh setahun sebelum pengalihan kuasa mengambil tempat.
“Sebagai PM, biar Tun Dr Mahathir jalankan tugas tanpa tekanan dan tanpa date line (tempoh masa).
“Ini penting demi kestabilan dan keyakinan pelabur. Bila semua dah ok, Tun tahu bila nak serah. Dulu masa Tun sebagai PM4 juga sama…Sabar, tulis beliau dalam akaun Twitternya.
Kenyataan Ahli Parlimen Ketereh itu dipercayai merujuk kepada Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yang secara terang-terangan meminta Dr Mahathir menyatakan dengan jelas bila beliau akan membiarkan Anwar Ibrahim mengambil alih sebagai Perdana Menteri.
Abdullah turut berkata tidak cukup untuk Dr Mahathir berulang kali mengatakan bahawa dia akan menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR tanpa “jelas mengenai tempoh masa”.
“Dengan menyatakan kelewatan itu untuk memperkuat ekonomi mungkin tidak rasional kerana ekonomi adalah masalah yang berterusan,” katanya memetik laporan FMT.
Selain Abdullah Sani, turut membuat kenyataan sama adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Kumaresan Aramugam, pada 4 Mac 2019 yang mendesak supaya Anwar segera dilantik sebagai Perdana Menteri.
Malah, Ketua AMK Sabah, Raymond Ahuar, pada 14 April 2019 turut menyatakan nada sama supaya Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada Mei 2019. -MalaysiaGazette