Home Nasional Kerajaan perlu tarik balik pinda akta perkahwinan, penceraian – Harussani

Kerajaan perlu tarik balik pinda akta perkahwinan, penceraian – Harussani

Harussani Zakaria

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menarik balik dan menangguh langkah untuk meminda Akta 164 Undang-Undang Perkahwinan dan Penceraian 1976 kerana wujud banyak percanggahan, kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Harussani berkata, pindaan tersebut banyak percanggahan daripada sudut perlembagaan dan hukum syarak, sekiranya diteruskan dibimbangi ia akan membawa kepada kesan yang lebih buruk.

“Perkara ini adalah cukup berat, satu perkara yang cukup bertentangan dalam perlembagaan dan lebih-lebih lagi terhadap agama Islam dan ia merupakan satu penentangan terhadap hukum yang telah ditetapkan oleh syarak.

“Yang kedua apabila kita melakukan sesuatu yang bertentangan dengan Islam yang telahpun diperlembagakan sebagai agama negara ini, membuatkan perbuatan ini telah menentang hukum Allah, bila menentang hukum Allah, hukumnya fasik yang membawa kepada syirik,” kata beliau yang dipetik dalam satu laporan media semasa program di Bangunan Kompleks Islam Perak hari ini.

Difahamkan Rang Undang-Undang 164 mengenai pasangan suami isteri yang mualaf berkahwin dengan orang Islam dan apabila berlaku perceraian, maka anak-anak mereka atau anak yang mereka bawa itu tidak boleh didaftarkan secara Islam oleh sama ada ibu atau bapa kecuali atas persetujuan kedua-duanya (ibu bapa) setelah anak itu mencapai usia 18 tahun.

Beliau menambah, ia juga akan memperlekeh dan menghina agama Islam, seterusnya akan menjadi perkara yang cukup berat sekiranya undang-undang itu dibentangkan dan diluluskan.

“Kerana itu, tugas saya sebagai seorang mufti menasihatkan kerajaan agar menarik balik cadangan untuk meminda akta tersebut dan tidak dibentangkan pada waktu ini,” ujarnya.

Bahkan, tambah Harussani, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sendiripun telah memutuskan bahwa perkara itu tidak boleh dilakukan kerana ia bertentangan sama sekali dengan Islam dan hukum-hukum Syarak.

Selain itu, katanya, keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Ke-87 pada 23 hingga 25 Jun 2009 telah memutuskan apabila salah seorang pasangan (ibu atau bapa) memeluk agama Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan tersebut adalah secara langsung beragama Islam.

“Ini telah dikeluarkan dalam Fatwa Kebangsaan yang telahpun diterima di dalam negara ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette.

Comments are closed.