KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkongsi beberapa tip penggunaan elektrik secara praktikal dan bijak tenaga kepada mereka yang merancang untuk pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidilfitri.
Menurutnya, panduan mudah itu boleh dilakukan bagi memastikan peralatan elektrik di dalam rumah berada dalam keadaan baik dan selamat.
Berikut adalah beberapa tip yang boleh diamalkan:
i. Tutup suis peralatan elektrik yang tidak digunakan dan tanggalkan palam bagi mengelakkan arus elektrik terus mengalir.
ii.Pertimbangkan penggunaan alat pengukur masa (timer) supaya lampu tidak dipasang 24 jam sehari (untuk keselamatan / mengelakkan kecurian).
iii. Pastikan semua soket dalam keadaan baik dan tidak dibebankan dengan penyesuai (adapter) berlebihan.
iv. Pastikan peralatan elektrik yang perlu dipasang dalam keadaan baik dan motor di dalam peralatan elektrik bermotor, berfungsi dengan lancar.
v. Buka gulungan wayar sambungan tambahan (extension wire) sepenuhnya untuk mengelakkannya menjadi terlalu panas jika digunakan; dan
vi. Uji Pemutus Litar Arus Baki (PLAB) atau Residual Current Circuit Breaker (RCCB), sebaik-baiknya sebulan sekali.
Katanya, pengguna boleh merujuk laman web www.tnb.com.my atau Facebook TNB CareLine untuk mengetahui cara-cara menguji PLAB.
Para pengguna dinasihatkan untuk menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan TNB di talian 15454 atau Facebook TNB CareLine untuk mendapatkan bantuan sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik pada Syawal nanti. – MalaysiaGazette