Home Utama Sultan Johor dukacita majlis Iftar di Gurdwara

Sultan Johor dukacita majlis Iftar di Gurdwara

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR – Sultan Johor dukacita dengan tindakan Ahli Parlimen Johor Bahru yang menjemput dan menyertai Majlis Iftar Muhibbah di Gurdwara Sahib baru-baru ini.

Akmal Nasrullah Mohd Nasir didakwa tidak pernah merujuk pun kepada Majlis Agama Islam Johor dalam perkara itu.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata, walaupun majlis tersebut menerima bantahan masyarakat, ia tidak dapat lari daripada fakta bahawa waktu dan keadaan majlis itu diberi nama Majlis Ibadah Berbuka Puasa.

Baginda bertitah, sungguhpun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak, Akmal tetap ingkar dan meneruskan majlis berkenaan atas dasar toleransi dan perpaduan antara agama.

“Walhal sebagai pemimpin, seharusnya beliau sedar, tahu dan faham untuk membezakan antara tindakan politik dan agama.

“Ini menunjukkan ketidakmatangannya sebagai seorang pemimpin dan ahli politik,” titah baginda yang mengulas tindakan Akmal menganjurkan majlis berbuka puasa di sebuah Gurdwara, di Johor Bahru pada 28 Mei lalu.

Dalam satu kenyataan panjang, Sultan Johor bertitah, baginda sudah berulang kali melarang keras dan tidak membenarkan apa-apa aktiviti politik yang dijalankan menggunakan agama Islam sebagai modal politik.

Tegas baginda, kesucian agama Islam tidak seharusnya dicemari dengan aktiviti-aktiviti ahli politik tanpa memikirkan implikasi dan kesan buruk secara keseluruhan terhadap agama Islam dan umat Islam.

“Ahli-ahli politik di negeri ini datang dan pergi tetapi kesan perbuatan negatif ini telah mengakibatkan luka yang dalam serta berpanjangan terhadap Bangsa Johor yang sukar diubati.

“Sedia dimaklumi bahawa penganut agama lain tidak boleh menyebarkan pegangan mereka kepada umat Islam.

“Namun apabila seorang Muslim secara sengaja menghadirkan diri ke kuil atas alasan untuk berbuka puasa dengan bukan Islam maka tindakan ini membuka ruang kepada golongan bukan Islam untuk mendakyahkan agama mereka kepada orang Islam,” tambah baginda lagi.

Perbuatan ini menjadi lebih serius implikasinya apabila pemimpin politik beragama Islam menghadirkan diri di kuil dan menggunakan platform Majlis Ibadah Berbuka Piasa di bawah bumbung Gurdwara Sikh, yang sekali gus akan menjadikan perbuatan pemimpin satu teladan dan ikutan.

Sedangkan perbuatan ini mewujudkan rasa tidak selesa umat Islam yang lain.

Oleh kerana rakyat di negeri ini mempunyai pelbagai latar belakang agama, kaum, budaya dan fahaman, sesuatu perbuatan yang dianggap baik oleh satu kelompok, mungkin dianggap tidak oleh kelompok lain, apatah lahi melibatkan rumah/premis agama mereka.

Sebagai ketua agama Islam, Sultan Johor menegaskan, baginda tidak boleh membenarkan apa-apa perbuatan yang boleh menyebabkan Islam dipandang hina atau rendah.

Sultan Ibrahim bertitah, permuafakatan, keharmonian dan perpaduan di antara kaum dalam bangsa Johor telah disemarakkan sejak berzaman, justeru tidak perlu pendekatan baharu yang tidak Syarie yang dibuat oleh ahli parlimen tersebut.

“Tidaklah boleh sama sekali sekiranya untuk menjaga hubungan antara etnik, kedudukan dan kepentingan Islam sebagai agama negeri ini dikesampingkan, apatah lagi dicemari dan menggadai prinsip agama Islam bagi mewujudkan fahaman kesaksamaan antara kaum, agama, Islam, sama sekali tidak menerima konsep pluralisme dan liberalsme dalam agama Islam iaitu menyamakan semua agama atas alasan mewujudkan toleransi antara kaum,” titah baginda.

Sultan Johor berkata, baginda dan keluarga juga kerap hadir dalam meraikan perayaan kaum dan agama lain tetapi bukan membawa amalan ibadah agama Islam di premis mereka.

Artikel berkaitan:Akmal Nasir beri penjelasan iftar di Gurdwara

Buka puasa di kuil Sikh kurang hikmah

Oleh itu, cubaan sesetengah pihak terutama ahli politik untuk meraih keuntungan politik dan populariti dengan menganjurkan ibadah berbuka puasa di kuil adalah tidak wajar sama sekali.

Susulan kejadian itu, baginda telah mengarahkan Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri Johor segara mengambil tindakan yang sesuai dan perlu bagi mengelakkan perkara-perkara yang dilihat boleh mempersenda dan merendahkan kedudukan agama Islam sebagai agama negeri itu berulang lagi. – MalaysiaGazette