KUALA LUMPUR – “Kapal perang China lebih besar daripada kapal perang Malaysia dan sukar untuk mengejar mereka.”
Itu jawapan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu atau dikenali Mat Sabu yang hadir pada Sidang Kemuncak Kesalamatan Asia Ke-18 yang sedang berlangsung di Singapura sejak 31 Mei lalu.
Beliau berkata demikian menjawab soalan salah seorang delegasi forum bertajuk Asia’s Evolving Security Order And It’s Challenges, Aaron Connelly yang berkongsi cerita melalui media sosialnya.
Aaron sebelum itu menanyakan soalan kepada Mat Sabu ketika masih menjadi pembangkang di Malaysia, pihaknya banyak menyeru tindak balas yang mantap terhadap kehadiran kapal pengawal pantai milik China dari Lucinda Shoals namun bagaimanakah pandangan Mohamad dilihat berubah sejak menjadi menteri.
Sebagai menjawab soalan berkenaan pada hari pertama sidang kemuncak itu, Mat Sabu menyifatkan kapal milik China bersaiz besar dan menyukarkan tindakan.
“Kapal pengawal pantai milik China adalah besar daripada kapal perang Malaysia, jadi bagaimana kami boleh mengejar mereka?” katanya.
Mat Sabu juga menambah Malaysia akan mempertahankan kedaulatan perairan Laut China Selatan itu menerusi cara diplomatik tanpa menagih bantuan Amerika Syarikat.
Connelly berkongsi jawapan Mohamad Sabu itu di ruang twitternya menarik perhatian penggiat industri pertahanan serantau.
Bagaimanapun seorang pemilik akaun twitter bernama Ziko@razxiko pula yang mengikuti rapat secara cicipan twitter Connelly berkongsi pendapatnya berhubung jawapan Mat Sabu.
Ziko mendakwa prestasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini kian merosot dan tidak diambil peduli ahli politik Malaysia.
“Ada ahli parlimen yang mengatakan sistem pelancar peluru berpandu lancaran bahu (MANPADS) cukup untuk melindungi ruang udara Malaysia.
“Komen berkenaan juga merujuk kepada veteran tentera yang juga mengesahkan kebimbangan mereka terhadap apa yang sedang berlaku dalam ATM,” cicip Ziko.
Manakala seorang lagi pemilik Twitter yang mengikuti perkembangan forum itu pula Mohan Malik 实事求是@jmohanmalik sebagai membalas Connelly mendakwa sehingga kini rekod Malaysia dalam mempertahankan kedaulatan di Laut China Selatan menerusi cara diplomatik dalam soal pencerobohan China sangat menyedihkan.- MalaysiaGazette