Home Ekonomi Hutang dan liabiliti kerajaan susut 3.9 peratus

Hutang dan liabiliti kerajaan susut 3.9 peratus

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR- Hutang dan liabiliti kerajaan susut sebanyak 3.9 mata peratus kepada 75.4 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lepas berbanding 79.3 peratus pada 2018.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, penurunan disebabkan oleh rasionalisasi ke atas kos projek-projek mega serta pembayaran Kerjasama Awam Swasta (PPP).

Jelasnya, tanpa penjimatan kos yang dilakukan kerajaan terhadap projek-projek mega termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), MRT2 dan LRT3, hutang dan liabiliti akan meningkat dengan lebih tinggi berbanding sekarang.

Katanya, komitmen kewangan lain yang dimulakan oleh pentadbiran terdahulu merangkumi pembayaran pajakan PPP dan lain-lain liabiliti (seperti 1MDB) telah turun 6.8 mata peratusan kepada 15 peratus berbanding KDNK pada tahun 2018 daripada 21.8 peratus pada 2017.

Penurunan tersebut membolehkan kerajaan untuk mengurangkan tanggungan hutang dan liabiliti secara keseluruhan dalam tempoh setahun.

“Pihak kerajaan akan terus mengurangkan tanggungan hutang dan liabilitinya secara keseluruhan dan bukannya hutang langsung kerajaan sahaja.

“Jawatankuasa Pengurusan Hutang yang baru ditubuhkan oleh Kerajaan akan meneruskan usaha konsolidasi fiskal bagi mengawal peningkatan hutang langsung kerajaan, tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

“Usaha ini, yang dijalankan seiringan dengan tadbir urus yang lebih telus dan lebih baik, akan mengurangkan lagi hutang dan liabiliti kerajaan secara keseluruhan pada tahun 2019 dan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Guan Eng, hutang langsung kerajaan meningkat 1.1 mata peratusan kepada 51.2 peratus berbanding KDNK pada tahun 2018 daripada 50.1 peratus tahun sebelumnya.

Kenaikan katanya adalah untuk bagi membiayai defisit fiskal tahunan yang wujud seperti yang menjadi amalan tahunan sejak pentadbiran yang terdahulu.

Jaminan kerajaan yang ditanggung dan dibayar oleh kerajaan meningkat 1.8 mata peratusan kepada 9.2 peratus berbanding KDNK pada tahun 2018 daripada 7.4 peratus pada 2017.

Peningkatan ini adalah disebabkan oleh penerusan pembiayaan projek infrastruktur yang sedia ada seperti Lebuhraya Pan-Borneo dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dimulakan oleh pentadbiran lama. – MalaysiaGazette