KANOWIT – Para penumpang sebuah bot ekspres yang sedang dalam perjalanan dari Sibu ke Kapit gempar apabila bot yang mereka naiki mengalami kebocoran di bahagian belakang.
Kejadian itu dikatakan berlaku selepas bot itu melanggar penghadang besi di pontoon jeti Kanowit pagi hari ini.
Asisten Kontroler Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) Wilayah Tengah, Hatta Morshidi, yang mengesahkan insiden itu berkata berdasarkan maklumat kejadian tersebut berlaku semasa jurugan merapatkan bot ekspres itu ke pontoon.
Bagaimanapun katanya, pemilik bot ekspress berkenaan tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak LSS.
“Esok kakitangan saya di Kanowit akan berjumpa dengan pemilik dan krew bot ekspres tersebut untuk menyiasat lebih lanjut insiden ini,” katanya kepada BERNAMA hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit, Ar Rahman Chik ketika dihubungi memberitahu pihaknya turut tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian dan hanya memperolehi daripada saksi di tempat kejadian.
“Untuk makluman bot ekspress dari Sibu ke Kapit bocor awal pagi tadi di Jeti Kanowit kemudian express tersebut di tarik ke tepi sungai bagi mengelakan express tersebut karam dan tengelam.Tiada mangsa lemas dilaporkan,” jelasnya.
Sementara itu difahamkan, semua penumpang yang tidak dipastikan jumlahnya berjaya keluar daripada bot ekspress tersebut dengan selamat dan telah meneruskan perjalanan menggunakan sebuah bot ekspress lain.
— BERNAMA