KUALA LUMPUR – Penyerahan zakat sepatutnya tidak diberi kepada orang politik bagi mengelakkan dijadikan kempen politik kepartian.
Tegas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin apa yang dititahkan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang melarang ahli politik menyampaikan zakat kepada asnaf di Perlis adalah perkara yang perlu dipatuhi.
Ujarnya ia senada dengan apa yang dipraktikkan sebelum ini apabila hanya Raja Perlis ata Raja Muda sahaja dibenarkan menyerahkan zakat di negeri itu.
“Sepanjang saya bertugas (sebagai Mufti Perlis), hanya Raja Perlis ataupun Raja Muda Perlis saja yang menyerahkan zakat.
“Jika tiada, hanya orang yang diperkenankan Raja Perlis atau Raja Muda Perlis selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) saja dibenarkan menyampaikan zakat. Pastinya mereka bukan dari kalangan orang politik.
“Isunya bukan sama ada zakat itu boleh diwakilkan atau tidak. Isunya, jika ruang itu dibuka, maka dalam konteks negara demokrasi pilihanraya, ia akan dijadikan ruang untuk berkempen politik kepartian menggunakan agama, atau lebih khususnya zakat,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.
Maza berkata demikian mengulas mengenai penularan di media sosial baru-baru ini beberapa pemimpin parti politik di kawasan tertentu aktif menyampaikan sumbangan zakat kepada golongan tertentu khususnya asnaf.
Tindakan itu mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat apabila ada berpendapat penyampaian zakat harus diberikan pihak berkuasa dalam negeri yang diamanahkan menjalankan tanggungjawab itu.
Mohd Asri juga mengingatkan penganut Islam agar terus berusaha memastikan tidak berlaku penyalahgunaan agama bagi tujuan kempen politik dan agenda peribadi.
Mana-mana pihak juga dalam masa yang sama tambahnya perlu berhati-hati mengeluarkan fatwa engenai wakil yang layak menyerahkan zakat kepada asnaf.
“Umat Islam hendaklah berkerja kerja meminimakan penyalahgunaan agama bagi tujuan kempen politik kepartian yang mempunyai agenda yang bersifat kelompok dan peribadi. Ini kerana penyalahgunaan agama untuk kepentingan politik kepartian merupakan musibah besar kepada umat ini.
“Seseorang ilmuan agama hendaklah mengambil kira realiti ini dalam mengeluarkan fatwa atau pandangan hukum apabila membincangkan isu siapakah yang boleh menyerahkan zakat kepada asnaf,” tambahnya. -MalaysiaGazette